Skip to main content

Rencana

Bruno mampu selamatkan United

bruno.jpg
Kurang dari sebulan hadir ke Manchester United, Bruno Fernandes telah pun meniupkan semangat baru buat peminat di Old Trafford susulan persembahan meyakinkan yang dipamerkan.

Hasil daripada tiga perlawanan di pentas Liga Perdana Inggeris, Bruno telah mencatat dua bantuan gol serta meledak satu jaringan menerusi sepakan penalti ketika berdepan Watford di laman sendiri, Ahad lalu.

Nilai perpindahan bernilai 46 juta Pound yang dibayar United kepada Sporting Lisbon semakin diterima peminat The Red Devils selepas melihat kemampuannya mengetuai jentera tengah skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu.

Malah, di sebalik aksi cemerlangnya itu, nama pemenang Piala Dunia, Paul Pogba, semakin dilupakan walaupun bekas tonggak Juventus itu dijangka kembali memperkuatkan pasukan selepas hampir pulih daripada kecederaan panjang yang dialami.

Berdasarkan pemerhatian yang dilaporkan Express.co, faktor kepada kemampuan Bruno pantas menyesuaikan diri bersama United adalah disebabkan posisi yang diberikan.

Walaupun ketika kali pertama menyarung jersi United dia diletakkan selaku pertahanan tengah sewaktu menentang Wolves, ternyata impak yang diberikan jauh berbeza ketika berdepan Chelsea dan Watford sekali gus memberi sokongan buat penyerang utama.

Ketika kelibat Marcus Rashford didambakan United, Bruno dilihat berupaya mendapatkan sentuhan terbaik Anthony Martial di depan gawang untuk membolehkan penggempur dari Perancis itu kembali meraih keyakinan meledak gol.

Justeru, walaupun terlalu awal untuk menilai tetapi jika Solskjaer bijak memanipulasi kemampuan bekas kapten itu, Bruno semestinya mampu menyelamatkan United, sekurang-kurangnya mendapatkan tiket ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found