Skip to main content

Rencana

Bola sepak Inggeris di tahap terbaik

_106897496_fourteams.jpg
Dominasi kelab-kelab Inggeris dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa untuk musim 2018/2019, membuktikan saingan Liga Perdana Inggeris kini sah sebagai saingan liga terbaik di dunia.

Malah penulis percaya, bola sepak Inggeris amnya juga berada di tahap terbaik ketika ini jika dilihat kepada aksi skuad senior, bawah 21, 19 dan 17 tahun England dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Skuad remaja England menjulang Piala Dunia bawah 20 Tahun 2017 di Korea Selatan, barisan bawah 17 tahun pula menjulang Piala Dunia bawah 17 tahun di India pada tahun yang sama.

Barisan senior England kendalian Gareth Southgate pula meraih tempat keempat dalam Piala Dunia 2018, Rusia dan walaupun gagal menjulang kejuaraan, ia adalah kemaraan pertama The Three Lions ke separuh akhir sejak Piala Dunia 1990 Itali.

Sebelum ini, terdapat beberapa pemerhati bola sepak antarabangsa yang berasa saingan EPL tidak sehebat saingan La Liga namun, kemaraan Liverpool dan Tottenham Hotspur ke final Liga Juara-Juara Eropah serta Chelsea dan Arsenal di final Liga Europa membuktikan, dominasi secara total oleh kelab Inggeris.

Jika dilihat kepada permainan kelab-kelab Inggeris serta skuad England dan barisan remaja mereka, corak permainan mereka banyak menerapkan ciri-ciri bola sepak moden yang turut dipengaruhi permainan ala tiki-taka Sepanyol.

Ia gara-gara kehadiran pengurus asing seperti Pep Guardiola dan Jurgen Klopp di saingan EPL yang jelas turut mempengaruhi evolusi permainan yang diterapkan skuad kebangsaan England.

Jadi jangan terkejut jila pada Piala Dunia 2022 Qatar, England sekali lagi menjelmakan aksi ampuh dan mungkin juga muncul juara Piala Dunia buat kali pertama sejak 1966.

Jika dilihat kepada pemain-pemain England juga, mereka kini memiliki pemain-pemain yang mampu menyinar di peringkat kelab dan antarabangsa seperti Raheem Sterling, Harry Kane, Dele Ali.

Saingan sengit antara Manchester City dan Liverpool di EPL musim ini juga membuktikan, ia adalah saingan paling kompetitif berbanding liga Eropah yang lain.

Advertisement

Must Watch Video