Skip to main content

Rencana

The Blues ‘Lampard’ tampak garang

frank-lampard-cropped_tcqmkmaue6hr1ge27v2r8jasl.jpg
Persiapan pra-musim skuad Chelsea di bawah kendalian jurulatih muda, Frank Lampard, dilihat berjalan dengan lancar. Semua kelihatan baik buat Chelsea di luar dan dalam padang dengan Lampard melaung keyakinan pasukan Chelsea mampu bersaing untuk merampas takhta juara liga untuk musim baru nanti.

Pengendali berusia 41 itu sedar kekangan Chelsea yang dilarang membeli pemain baru sehingga Januari depan akan mengakibatkan jurang yang jauh berbeza dengan pesaing lain dalam liga, namun beliau percaya kemampuan pemain sedia ada akan menghasilkan sesuatu yang terbaik.

Ini merupakan musim kedua Lampard menjadi pengurus dan dengan hanya bersandarkan pemain sedia ada, beliau sedar tugasan berat menanti pasukannya. Atas sebab itu, jelajah pra-musim di Jepun digunakan sepenuhnya oleh Lampard untuk pemain-pemainnya memahami falsafah yang dimahukannya.

Penghijrahan Eden Hazard ke Real Madrid mungkin menjejaskan sedikit kualiti yang dimiliki Chelsea, namun Lampard yakin pemain muda seperti Ruben Loftus-Cheek dan Callum Hudson-Odoi selain pemain lama, seperti Willian, Pedro, Olivier Giroud dan Michy Batshuayi, skuadnya masih mampu muncul pencabar kedudukan teratas liga.

Kejayaan menewaskan Barcelona di Yokohama baru-baru ini dilihat sebagai motivasi terbaik buat Chelsea memandangkan perlawanan pertama liga nanti, mereka akan berkunjung ke Old Trafford berdepan Manchester United dan ini merupakan cabaran besar buat Lampard dan skuadnya.

Adakah Frank Lampard mampu memacu Chelsea beraksi baik dalam liga musim baru nanti? Atau mungkin khidmatnya akan ditamatkan lebih awal andai tidak mampu menghasilkan keputusan memberangsangkan dalam lima ke 10 perlawanan pertama? 

Advertisement

Must Watch Video