Skip to main content

Rencana

The Blues kena kitai

che.jpg
Pengendali Chelsea, Frank Lampard, tanpa segan silu menempelak pasukannya memang jauh ketinggalan dengan kualiti pasukan-pasukan elit di pentas Eropah. Eh? Baru tahu ke? Hehe.. 

Ini berikutan tumbangnya The Blues di Stamford Bridge dalam pertemuan Liga Juara-Juara Eropah berdepan Bayern Munich. Menurut kenyataan Lampard, beliau mengakui bahawa pasukannya tewas hampir di semua posisi kepada skuad gergasi dari Jerman itu. Skuad bimbingan Hans Dieter Flick dilihat mudah membaham Chelsea menerusi dua jaringan Serge Gnabry dan satu menerusi Robert Lewandowski.

Serge Gnabry yang pernah beraksi bersama Arsenal dan West Bromwich Albion namun prestasinya gagal menyerlah sewaktu di England wajar berterima kasih kepada Bayern Munich yang memberi kepercayaan kepadanya untuk bangkit semula. Gnabry juga muncul wira sewaktu mereka menumbangkan Spurs 7-2 di peringkat kumpulan. Manakala bagi Robert Lewandowski, beliau masih mendahului senarai penjaring terbanyak Bundesliga setakat ini dengan 25 gol.

Dengan Bayern Munich menguasai hampir 70% perlawanan, kelemahan dan kekurangan Chelsea jelas kelihatan apabila mereka dilihat kerap kali hanya mengejar bola yang dikuasai pihak lawan. Nasib Chelsea bertambah malang apabila Marcos Alonso dilayangkan kad merah pada minit ke 83 sekaligus menutup peluangnya untuk bermain dalam aksi timbal balik.

Kekurangan dari segi pemain berpengalaman dan kualiti untuk bermain di peringkat tertinggi dilihat menjadi punca utama mereka gagal beraksi cemerlang di laman sendiri. Mungkin pihak pengurusan The Blues sudah boleh berkira-kira berbelanja besar untuk musim hadapan andai mahu kekal relevan di pentas Eropah. Tempoh penggantungan untuk mereka membeli pemain sudah tamat tetapi hanya satu pemain sahaja dibawa masuk iaitu Hakim Ziyech dari Ajax yang akan ke Stamford Bridge akhir musim nanti.

Bayern Munich sudah selangkah untuk mara ke peringkat suku akhir Liga Juara Juara Eropah, namun mereka tidak boleh memandang mudah cabaran Chelsea. Biarpun mempunyai kelebihan tiga gol, dalam bola sepak apa sahaja boleh terjadi. Lihat sahaja bagaimana Liverpool membenam Barcelona musim lalu.

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found