Skip to main content

Rencana

Bintang Afrika terus jadi buruan

afcon-cover.jpg
Ketika dua bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Sadio Mane dan Riyad Mahrez, bersemuka dalam final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di antara Senegal dan Algeria awal pagi tadi, kedua-duanya memperagakan lebih daripada bakat dan kemahiran untuk mengejar kejuaraan.

Lebih penting, sebagai duta-duta EPL dalam kejohanan di Mesir itu, mereka menunjukkan jalan kepada kebanjiran bintang dalam saingan 24 pasukan itu betapa England harus menjadi matlamat mereka untuk menjaja skil masing-masing.

Tiada siapa mampu menafikan keupayaan bakat-bakat Afrika mewarnai pelbagai kancah saingan daripada EPL, Serie A, Bundesliga, LaLiga, Primeira Liga, Eredivisie hingga ke Liga Perdana Scotland sekalipun.

Perpindahan mereka mungkin dirintis oleh Peter Ndlovu selaku pemain Afrika pertama ditandatangani dalam EPL ketika menyertai Coventry City di bawah pengurusan Bobby Gould pada 1992.

Sejak itu, nama-nama seperti Tony Yeboah, Lucas Radebe, Kolo Toure, John Obi Mikel, Yakubu, Jay-Jay Okocha, Nwankwo Kanu, Emmanuel Adebayor, Michael Essien dan Didier Drogba – sekadar menamakan beberapa – sudah menjadi sinonim dengan saingan berkenaan.

Manchester United sahaja pernah berterima kasih kepada Eric Djemba-Djemba, Manucho, Wilfried Zaha, Mame Biram Diouf dan Quinton Fortune di samping Eric Bailly dalam barisannya.

Berakhirnya AFCON 2019 pula, laman web www.90min.com menampilkan nama-nama seperti Ismaël Bennacer, Youcef Belaïli dan Youcef Atal (Algeria), Samuel Chukwueze (Nigeria), Kalidou Koulibaly (Senegal) dan Mahmoud Hassan @ Trézéguet (Mesir) untuk mengetuk pintu EPL.



Bennacer, yang kini bersama kelab Serie B, Empoli, harus mendambakan saingan di peringkat lebih tinggi, terutama selepas tempoh singkatnya bersama Arsenal dari 2015-2017, dan dikhabarkan mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Aaron Ramsey.

Di samping Riyad Mahrez selaku kapten, Bennacer, 21, tampil selaku pemain paling menonjol dalam skuad Algeria di Mesir selaku perancang di barisan tengah dan instrumental dalam kejayaan mereka bergelar juara kali ini.

Pada usia semuda 20 tahun, Chukwueze pula tidak syak lagi akan menjadi pembelian yang baik buat kelab-kelab EPL, cuma dia masih terikat dengan Villarreal dan sudah membuat 25 penampilan bersama kelab LaLiga itu.

Belaïli, dalam pada itu, sudah kerap menimbulkan ancaman buat Algeria di bahagian sayap kanan dan tidak akan mendapati sukar menyesuaikan diri dengan permainan bola sepak Inggeris – dua golnya dalam AFCON 2019 menjadi bukti.

Koulibaly tidak pun perlu diperkenalkan lagi. Diangkat selaku pertahanan terbaik dalam kejohanan kali ini, Koulibaly yang menjadi tonggak Senegal, bagaimanapun, tidak akan mudah dipancing daripada Napoli.

Mahmoud Hassan atau lebih dikenali sebagai Trézéguet boleh menjadi pemain Mesir kedua selepas Mohamed Salah untuk mencipta nama dalam EPL andai ada tawaran menarik kepada kelabnya dalam Liga Turki, Kasımpaşa.

Akhir sekali, Atal yang memukau bersama Algeria di posisi bek kanan, kekal dalam radar Tottenham yang tercari-cari seorang pemain pertahanan sayap yang gemar naik menyerang.

EPL, sejak ketibaan pertama Ndlovu, 27 tahun lalu, tidak akan mampu memalingkan muka daripada Afrika untuk pencarian bakatnya.

Advertisement

Must Watch Video