Skip to main content

Rencana

Bersara atau beraksi pada usia 40 tahun?

shukor-adan.jpg
Shukor Adan, siapa tidak mengenali pemain ini. Bukan sahaja komited di atas padang, malah kepimpinannya di luar padang menjadikan Shukor sebagai pemain paling disegani dan berpengaruh dalam kancah bola sepak tempatan.

Pada usia 39 tahun, kemampuan bekas pemain Negeri Sembilan, Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini untuk beraksi di pentas tertinggi bola sepak Malaysia seperti saingan Piala Malaysia tampak luar biasa walaupun tidak ligat seperti dahulu.

Jelas, sumbangan pemain kelahiran Melaka ini cukup besar untuk arena bola sepak negara terutama kepada pasukan yang diwakilinya ketika ini, Felda United, menerusi beberapa pencapaian dan kejayaan.

Shukor berjaya menunjangi pasukannya untuk muncul juara saingan Liga Perdana 2018 sekaligus memastikan mereka kembali ke pentas Liga Super musim depan di bawah teraju B. Sathianathan.

Namun, hasratnya untuk membantu skuad Felda mengecapi kejuaraan Piala Malaysia tidak kesampaian selepas tumpas 3-4 kepada Terengganu dalam aksi suku akhir kedua di tempat lawan, sekaligus terkeluar dalam saingan.

Masa depan Shukor menimbul persoalan memandangkan usianya akan mencecah 40 tahun, tahun depan. Sebelum ini, bekas kapten Harimau Malaya itu belum terfikir untuk bersara, namun selepas aksi terakhirnya musim ini pada semalam, dia tampak memberi gambaran lebih jelas.

Shukor mengesahkan akan bersara tahun depan jika tidak mendapat tawaran daripada mana-mana pasukan termasuk pasukannya, Felda United. Apa pun, jika masih beraksi, Shukor akan mencatat sejarah tersendiri sebagai antara pemain tertua pernah beraksi dalam sejarah bola sepak di negara ini.

Ia bagi mengikut jejak penjaga gol Terengganu Suffian Abdul Rahman yang beraksi pada usia 40 tahun tahun ini. Antara pemain lain yang masih mengerah kudrat ketika mereka semakin dimamah usia ialah Amri Yahyah, Indra Putra Mahayuddin dan beberapa pemain lagi.

Mungkin, situasi ini jarang dilihat di negara ini tetapi di luar negara ia bukan suatu yang asing kerana ramai sahaja pemain beraksi sehingga umur 40 tahun seperti Paolo Maldini, Javier Zanetti dan Francesco Totti.

Advertisement

Must Watch Video