Skip to main content

Rencana

Bersabarlah Nur Syaiful

nor-syaiful.jpg
Setiap atlet kebangsaan semestinya melihat pentas Sukan Olimpik atau Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sebagai medan tertinggi dalam memberikan sumbangan buat negara.

Tidak terkecuali, hasrat itu turut disuarakan Nur Syaiful Zulkafli selepas dia dilihat antara nama yang mampu menjadi sandaran pingat buat kem Malaysia dalam Sukan Paralimpik yang sepatutnya berlangsung Ogos depan.

Justeru, saingan Sukan Para Asean di Filipina tampak bakal memainkan peranan dalam usaha mengekalkan momentum prestasi sebelum meneruskan misi di Tokyo.

Namun, penangguhan tiga kali temasya dwitahunan itu memaksa perenang para negara itu berdepan cabaran untuk merombak semula perancangannya.

Tambahan, isu wabak Covid-19 yang kian serius secara global berkemungkinan memaksa atlet berusia 24 tahun itu melupakan hasrat menjulang nama Malaysia, sekurang-kurangnya untuk tahun ini.

Pemenang pingat emas saingan 50 meter gaya bebas lelaki S4-S5 (cacat anggota) Para Sukan Malaysia (Sukma) 2018 itu jelas kecewa kerana pentas Tokyo 2020 sememangnya menjadi idaman peribadi tetapi dalam masa sama tetap akur dengan keadaan semasa.

"Jurulatih kami sudah merancang untuk mengadakan latihan selama tiga bulan di China tetapi disebabkan wabak coronavirus, ia terpaksa dibatalkan," katanya.

Baginya, ini hanyalah cabaran kecil jika dibandingkan dengan dugaan sewaktu ditimpa kemalangan jalan raya yang menyebabkan dia mengalami kecacatan anggota saraf badan.

"Ketika itu, saya mengalami kemalangan jalan raya selepas dilanggar sebuah kereta dari arah belakang sehingga menyebabkan saya terjatuh ke pintu sisi depan kereta.

"Pada awalnya semua dalam keadaan baik tetapi kemudian doktor memberitahu tulang belakang mengalami tiga kegagalan dan salah satunya menyebabkan urat saraf tidak berfungsi."

Terbaru, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) turut mengumumkan penangguhan saingan Sukan Olimpik  Tokyo 2020, sekali gus merentap semangat Nur Syaiful untuk menampilkan aksi terbaik dan menyumbangkan sesuatu buat negara, sekurang-kurangnya untuk tahun ini.

Bersabarlah Nur Syaiful.

Advertisement

Must Watch Video