SAMA ada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dipimpin oleh Sultan Selangor, Raja Muda Selangor atau Menteri Besar, presiden haruslah ada rakan-rakan yang menggabungkan semangat sepasukan, berwawasan dan telus untuk dijadikan ahli jawatankuasa.
Tidak seperti transformasi bola sepak di Johor yang dicetuskan menerusi rampasan kuasa oleh pihak istana untuk menggabungkan beberapa pasukan di bawah satu panji bergelar JDT, pemegang jawatan FAS dipilih oleh ahli gabungan melebihi 90 kelab.
Atas nama demokrasi, semua yang berminat untuk memegang jawatan kena mendapatkan sokongan satu kelompok panglima berpengaruh (warlords) yang memiliki pengikut-pengikut setia dalam kalangan perwakilan. Sebuah rampasan kuasa agak sukar dilaksanakan sekalipun jika arahan datang daripada pihak istana.
Seperti yang penulis nukilkan di sini berhubung kerenah individu-individu dalam persatuan di bawah tajuk Bola sepak tempatan terus-terusan dicabul pada September lalu, sukan paling popular ini adalah pentas paling penting dan mudah untuk memanipulasi keadaan dan menagih populariti.
Lazimnya mereka yang memanipulasi ini akan memutar-belit agar sentimen dan sokongan memihak kepada mereka. Persepsi umum dikawal seolah-olah mereka wira sejati.
Sebab itu kita kena bijak membaca yang tersirat.
Dalam kes FAS, penulis ingin berkongsi pengalaman peribadi.
Pada hujung 2013, timbalan presiden FAS, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad, memanggil beberapa individu untuk memberi maklum balas dan idea dalam merencana hala tuju persatuan itu.
Beliau mengajak beberapa individu yang ada latar belakang pemasaran, pengurusan acara dan media untuk membincangkan aspek memperkasakan pemasaran, termasuk menjadikan Stadium Shah Alam sebagai hab komersial dengan kerjasama Majlis Bandaran Shah Alam, sebagai antara langkah ke arah penswastaan.
Penulis turut dijemput memberi maklum balas di pejabat Abdul Mokhtar di Kelab Sultan Sulaiman (KSS), Kampung Baru. Ini disebabkan kami saling mengenali dari zaman penulis bertugas sebagai wartawan The Malay Mail.
Namun, penulis sekadar mengikuti perkembangan Gergasi Merah dari jauh disebabkan wartawan The Malay Mail yang membuat liputan pasukan Selangor adalah Fariq Rahman, Tony Mariadass dan Mustapha Kamaruddin. Sesekali penulis akan bertembung dengan Abdul Mokhtar dalam mesyuarat majlis FAM atau jawatankuasa-jawatankuasa tertentu.
Berikutan pelantikan supremo Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2013 (selepas 15 tahun di kerusi paling berpengaruh FAS), Abdul Mokhtar memikirkan selaku timbalan presiden, beliau harus memikul tugas membentuk pasukan menghadapi musim 2014.
Abdul Mokhtar turut mendapatkan nasihat Kevin Ramalingam, sebelum dia menjadi pemikir yang mengusahakan kemasukan MP & Silva untuk mengurus hak siaran aset FAM dan seterusnya dilantik Ketua Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).
Kevin berkongsi beberapa kertas kerja pemasaran dalam memikat penaja, dengan beberapa pulangan atas pelaburan (ROI) untuk Abdul Mokhtar kemukakan kepada exco FAS.
Selaku tokoh korporat dengan latar belakang sebagai kontraktor Bumiputera yang membina beberapa pencakar langit di ibu kota, Abdul Mokhtar cuba menongkah arus seawal 1998, apabila membawa masuk pakar motivasi dan pakar kecergasan tetapi tidak digemari pemain.
Usaha Abdul Mokhtar memperkenalkan langkah penswastaan juga tidak digemari exco kerana penasihatnya orang luar, bukan kalangan pemegang jawatan.
Abdul Mokhtar dilihat banyak membuat keputusan tanpa merujuk kepada urus setia FAS dan exco. Banyak idea Abdul Mokhtar dianggap tidak sesuai, sedangkan ada idea beliau mendahului zaman.
Tanpa campur tangan Presiden FAS, Tan Sri Khalid Ibrahim, ketika itu, Abdul Mokhtar melamar Mehmet Durakovic selepas B. Sathianathan membuat pusingan U untuk membimbing Selangor. Mehmet dilihat calon sesuai – legenda import yang memenangi Piala Malaysia tiga kali berturut-turut pada era 90-an dan disenangi ramai.
Pada musim sulung di bawah Mehmet, Selangor menduduki tangga kedua Liga Super pada musim 2014 tetapi sekadar mara ke suku akhir Piala Malaysia, maka musim 2015 menuntut satu anjakan selepas peralihan kuasa Kerajaan Negeri membuka pintu kepada Datuk Seri Mohammad Azmin Ali menggantikan Khalid pada hujung 2014, hanya tiga bulan selepas Khalid dipilih dalam mesyuarat agung FAS penggal 2014-2018.
Di saat banyak cadangan ke arah penswastaan Abdul Mokhtar dibakul sampahkan, beliau tiba-tiba digantung tidak bertali apabila diketepikan daripada semua jawatankuasa yang ada di FAS.
Sebaliknya, Mohammad Azmin menjadikan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, sebagai pengurus pasukan dan orang tengah dalam menyampaikan mesej dan menyalur dana Kerajaan Negeri.
Sudah tentu kehadiran Amirudin tidak disenangi exco FAS kerana pelantikannya melanggar tradisi. Pengurus pasukan seperti Tengku Ahmad Shah, Datuk Mazlan Harun, Datuk Mohd Aini Taib, Abdul Mokhtar dan Datuk Satim Diman adalah pemegang jawatan dalam FAS.
Di tengah-tengah percaturan politik ini, prestasi tidak menentu Selangor menjejaskan kewibawaan Mehmet.
Amirudin dituduh dalang yang memancing Zainal Abidin Hassan di saat Mehmet bergelut fokus dalam kempen Piala Malaysia yang akhirnya dimenangi Gergasi Merah menewaskan Kedah dalam final.
Tidak sampai penghujung musim, Zainal Abidin pula dipecat, Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim, dan Bendahari, Datuk S. Sivasundaram, menawarkan diri untuk meletak jawatan dan akhirnya tembelang mainan politik ini pecah apabila 14 exco FAS memulaukan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Mohammad Azmin pada 29 Ogos kerana mereka mahu mempertahankan sesetengah individu, tanpa memikirkan agenda lebih besar ke arah penswastaan dan perancangan 2017.
Hanya Abdul Mokhtar, naib presiden, Datuk Emran Kadir dan Datuk Samin Sarmin serta ahli exco, Noor Hisham Ghouth, yang berdiri teguh di belakang presiden FAS.
Kembalinya Rosman dan Sivasundaram ke dalam FAS membuktikan exconya adalah pemegang kuasa mutlak atau kingmakers!
Mohammad Azmin mengancam menghentikan dana tajaan kepada FAS, pendaftaran PKNS pula ditolak atas alasan tidak mengikut saluran kerana exco persatuan membaca bahawa Kerajaan Negeri Selangor mahu memperkasakan kelab itu.
Soalnya, sekalipun PKNS tidak mengikut saluran betul atau FMLLP tidak menghormati perlembagaan FAS, tiada seorangpun dalam kalangan exco FAS yang bersuara memberi pandangan seolah-olah mereka terbuka kepada idea gabungan dan penswastaan, sebaliknya kenyataan yang dikeluarkan lebih berbentuk mempertahan diri dan kedudukan serta membalas serangan.
Sebab itu penulis memilih peribahasa ibarat tahan jerat, sorong kepala apabila menutup program Dengan Izin yang mengundang Amirudin selaku tetamu dua minggu lalu kerana exco FAS kemungkinan terjerat dalam permainan ciptaan sendiri.
Apakah jalan penyelesaiannya?
Dua opsyen – Kerajaan negeri menjadikan PKNS kelab teras dengan pengurusan yang profesional, manakala segala sumber yang ada dalam FAS digunakan untuk memberi fokus kepada penganjuran liga negeri dan pembangunan peringkat sekolah, Piala Presiden dan Piala Belia bermula musim 2018. Pengurusan PKNS dan FAS digabungkan di bawah satu entiti yang dijenamakan seperti Red Giants FC, Darul Ehsan City (sebagai contoh) yang dipayungi oleh presiden.
Ini membolehkan sesiapa – sama ada Menteri Besar atau anggota kerabat – untuk memegang teraju.
Opsyen kedua – FAS menubuhkan anak syarikat sebagai cawangan pemasaran dan perniagaan serta mewujudkan sebuah yayasan yang membuka keahlian kepada penyokong untuk menentukan hala tuju FAS, mengikut formula Tunku Ismail Sultan Ibrahim di JDT tetapi membawa haluan berbeza dengan PKNS.
Opsyen pertama menuntut political will atau iltizam politik yang kuat kerana Kerajaan Negeri harus mengetepikan sentimen, sejarah dan nostalgia membabitkan legenda terdahulu. Bermakna masa depan pasukan Selangor berteraskan PKNS, bukan pasukan acuan FAS selepas melalui satu proses penjenamaan. Sekarang ini siapa yang fikir JDT dahulu adalah PKENJ dan Johor FC manakala juara Piala Malaysia 1985 dan 1991 adalah JDT II?
Opsyen kedua memerlukan FAS meminda perlembagaannya dan menyerahkan urusan pemasaran, media, perniagaan dan perkara berkaitan kepada anak syarikat yang kemudian menjawab kepada yayasan agar kata putus diberi kepada pemilik, bukan perwakilan kelab dan individu-individu tertentu yang memiliki kelab serta kelab-kelab di bawah telunjuk ahli exco.
Jika tidak, sesiapa sahaja yang mengepalai FAS akan pening kepala kerana beliau akan dipaksa mengikut telunjuk exco dan terus bernafas dalam lumpur. Lumpur yang sama akan dikitar semula 10 tahun akan datang jika tiada perubahan dari sudut minda dan pelaksanaan.