Skip to main content

Rencana

Bernabeu kembali terbitkan harapan

reyal-cover.jpg
James Rodriguez dan Gareth Bale sudah kembali membarisi Real Madrid dalam LaLiga, begitu juga gerombolan penyokong Los Blancos yang berpusu-pusu semula menagih ‘keajaiban’ daripada pasukan pujaan mereka.

Kali terakhir menjulang kejuaraan liga pada 2017, keghairahan Real untuk meneruskan permulaan musim baru susulan keputusan 2-1 di Real Betis minggu lalu dengan satu lagi nota kemenangan, bagaimanapun, terencat oleh gol penyamaan lewat Real Valladolid untuk terikat 1-1 awal pagi tadi.

Namun, ia harus mengujakan melihat penonton berpakat berdiri memberi penghormatan sejurus Rodríguez dikeluarkan dalam separuh masa kedua – sesuatu yang masih didambakan oleh Bale setakat ini.

Bayangkan hanya sebulan lalu, kedua-duanya tidak harus berada lebih lama di Santiago Bernabeu – pengurus, Zinedine Zidane, mengetepikan kedua-duanya daripada perancangannya bagi musim baru ini.



Begitupun, tidak semua perkara berada dalam kawalan jurulatih Perancis itu. Kegagalan mendatangkan Paul Pogba sambil Neymar pula terus menjadi persoalan, menawarkan talaian hayat buat Rodríguez dan Bale untuk dimanfaatkan kudrat mereka.

Dalam pada itu, ia tidak akan mudah buat kedua-dua pemain ‘buangan’ itu menambat hati Madridistas semula kecuali mampu mencetuskan sensasi di depan pintu gol lawan saban minggu.

Selepas tempoh pinjaman dua musim di Bayern Munich, Rodriguez harus menikmati setiap detik di dalam jersi putih Real dengan membuat hantaran di Twitter: “Kembali di Bernabeu selepas sekian lama. Ia suatu perasaan yang unik, terima kasih di atas sambutan penyokong.”

Bale, yang mendapat kepercayaan Zidane dalam kesebelasan permulaan buat minggu kedua berturut-turut, lebih memukau dalam perlawanan pertamanya berbanding gandingannya bersama Karim Benzema di barisan depan awal pagi tadi tanpa banyak sumbangan bermakna.

Sama ada Rodriguez dan Bale menjadi faktor atau tidak, penyokong Los Blancos nampaknya sedia berdiri teguh di belakang pasukan, dengan akhbar harian Marca melaporkan kehadiran 63,037 penonton awal pagi tadi – mengatasi jumlah 48,346 penonton yang menyaksikan perlawanan pembukaan menentang Getafe musim lalu.

Di samping ia menjadi kehadiran tertinggi selepas kekalahan kepada Ajax dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara, Mac lalu, penyokong menyerlahkan sokongan dari minit pertama permainan lagi, dengan kehambaran musim lalu – Real mengakhiri musim tanpa sebarang trofi – seolah-olah sudah dilupai dan dimaafkan.



Tekanan, bagaimanapun, akan berlanjutan ke atas Zidane, yang suatu ketika mengancam untuk meletakkan jawatan berikutan kegagalan kelab itu memuktamadkan perpindahan Pogba daripada Manchester United.

Menutup pintunya buat pemain tengah Perancis itu serta Neymar – untuk jendela perpindahan yang tamat 9 September ini – Zidane perlu mengerah yang terbaik daripada setiap seorang pemain yang dimilikinya ketika ini atau kedudukannya sendiri berisiko.

“Selepas mendahului, Valladolid menyamakan kedudukan. Kami bagus dalam separuh pertama tapi kekurangan jaringan.

“Masalahnya bukan kerana kami kehilangan bola. Kami kerap terkeluar posisi. Tiada keraguan kami perlu terus meningkat dan mampu bermain sekurang-kurangnya 60 minit,” katanya mengulas keputusan seri dengan Valladolid  itu.

Apa yang positif ialah Zidane memuji prestasi Rodriguez sambil menghindarkan dirinya daripada mengkritik Bale buat ketika ini.

 



 

 

Advertisement

Must Watch Video