Skip to main content

Rencana

Berang Poch berang bertempat

pochet-covers.jpg
Hanya kira-kira dua bulan lalu, Mauricio Pochettino menimbulkan gempar dengan kenyataan dia akan meninggalkan Tottenham Hotspur andai kelab London Utara itu bergelar juara Eropah.

Ketika itu, ramai yang tertanya-tanya apakah gerangan jurulatih dari Argentina itu mengucapkan demikian pada waktu skuad ‘ala kadar’ miliknya sedang meniti kejayaan?

Kekalahan 0-2 kepada Liverpool dalam final Liga Juara-Juara (UCL) di Wanda Metropolitano pada 2 Jun lalu itu, bagaimanapun, melihatkan jodoh Poch dengan Spurs berpanjangan hingga kini -- dan persoalan yang ditimbulkannya sebelum ini terus tidak berjawab.

Namun, semalam pengurus Spurs itu ‘meletup’ lagi. Kali ini, dia tidak berselindung mahupun berkias pada ketika aspirasinya untuk memperkuatkan pasukan dengan kedatangan bintang-bintang baru, kekal tidak terpenuhi.



Perihal Spurs, yang dikaitkan dengan pelbagai prospek rekrut -- daripada Bertrand Traore (Lyon), Giovani Lo Celso (Real Betis), Kai Havertz (Bayer Leverkusen), Ryan Sessegnon (Fulham), Paulo Dybala (Juventus) hinggalah kepada Gareth Bale – hanya layak memenuhi ruang gosip.

Kecuali didatangkan pemain tengah Lyon, Tanguy Ndombele, dengan rekod perpindahan kelab bernilai £65 juta (RM326.4j) di samping penyerang muda, Jack Clarke, yang bagaimanapun dipinjamkan semula kepada Leeds, Poch terus ternanti-nanti kedatangan baru.

Dengan menempelak bahawa taraf jawatannya tidak lebih daripada seorang “jurulatih” berbanding “pengurus”, dia seakan-akan ‘memulangkan paku buah keras’ kepada pengerusi kelab, Daniel Levy, yang disifatkannya berkuasa dalam segala hal, termasuk soal pembelian pemain.

Poch, yang mengambil alih kerusi panas di White Hart Lane pada Mei 2014, turut pernah mengugut untuk meletakkan jawatan melainkan dia mendapat suatu jaminan daripada Levy berkaitan dengan cita-cita besar pasukan.



Diandaikan kedua-dua pengurus dan pengerusi akan senada dan seirama sejak itu, kata satu laporan The Guardian, namun luahan hatinya semalam membayangkan keadaan sebaliknya – di sebalik sukar untuk percaya Poch tiada langsung suara dalam pembelian pemain.

Cuma, dia memilih detik yang tidak bertepatan untuk ‘meletup’ di hadapan wartawan ketika Spurs baru menundukkan Real Madrid 1-0 dalam perlawanan pramusim Piala Audi di Allianz Arena, Munich.

Ditanya seorang wartawan mengenai masa depan bek kirinya, Danny Rose, dan sebarang pembelian baru, tiba-tiba Poch melepaskan segala yang bersarang dalam dadanya.

“Saya bukannya berkuasa dalam perkara ini, segalanya diputuskan oleh Levy. Tugas saya hanya melatih pemain, untuk mengerah yang terbaik daripada pemain (yang ada),” bentaknya.



Ia bukan pun kali pertama, malah pengurus berusia 47 tahun itu mudah panas telinga apakala diajukan soalan mengenai pembelian pemain sepanjang musim panas ini.

Selepas dua jendela perpindahan berturut-turut, Poch masih ternanti-nantikan pemain di sebalik skuadnya yang kekurangan serba-serbi masih tetap menakjubkan dengan khidmat pemain seperti Harry Kane, Son Heung-Min, Lucas Moura dan Dele Alli.

 “Mungkin kelab ini perlu menukar taraf jawatan saya kerana tugas saya sekarang hanya untuk melatih pasukan,” katanya.

Kajang Pak Malau kajang berlipat, berang Pochettino pula bukan berang tak bertempat.

Advertisement

Must Watch Video