Skip to main content

Rencana

Benteng buntu Old Trafford (bhg 2)

cover_1.jpg
Manchester United meneruskan pemburuan dalam memperkasakan barisan pertahanan bagi menghadapi saingan musim 2017/18 apabila dilaporkan sedang berusaha memuktamadkan perpindahan Toby Alderweireld daripada Tottenham Hotspur.

Setelah percubaan untuk mendapatkan khidmat Harry Maguire menemui jalan buntu ekoran langkah Leicester City mengekang usaha itu dengan cara meletakkan harga yang terlalu tinggi, United telah mengalihkan perhatian terhadap pemain yang bergelut di Sepanyol selepas berhijrah ke Barcelona pada Januari lalu, Yerry Mina.



Walaupun menampilkan aksi cemerlang di pentas antarabangsa bersama Colombia, Mina dilihat gagal menyesuaikan diri sejak menandatangani kontrak selama lima tahun enam bulan di Camp Nou, apabila hanya melakukan lima penampilan, termasuk dalam satu-satunya perlawanan yang menyaksikan Barca tewas di pentas LaLiga pada musim lalu, tunduk 5-4 di tangan Levante.

Mina kini dikatakan telah bersetuju dengan terma peribadi yang ditawarkan United untuknya, namun perpindahan itu juga dilihat bakal menghadapi kesukaran kerana Barca juga dijangka akan mengemukakan harga yang tinggi buat The Red Devils memandangkan pasukan bimbingan Jose Mourinho itu memegang status kelab terkaya di dunia.



Justeru, perpindahan yang mungkin berpeluang cerah untuk dimuktamadkan United adalah membawa masuk Alderweireld.

Walaupun sebelum ini Spurs meletakkan tanda harga GBP75 juta (RM398 juta) terhadap tonggak Piala Dunia Belgium itu, laporan CaughtOffside menyatakan bahawa United kini berada di tahap keyakinan tertinggi untuk melengkapkan perpindahan bernilai GBP55 juta (RM291 juta) buat bekas benteng Southampton itu.

Bagaimanapun, pada usia 29 tahun, wujud kekangan selain tanda harga yang mungkin membuatkan United perlu berfikir semula sebelum menyempurnakan urusan perpindahan Alderweireld.



Dalam empat tahun terakhir, Alderweireld telah mengalami empat kecederaan yang melibatkan lutut dan paha sehingga menyebabkannya terpaksa berehat selama 230 hari keseluruhan, termasuk 29 perlawanan bagi saingan musim lalu.

Situasi itu pastinya menggugat keyakinan Mourinho kerana dia telah memiliki seorang pemain pertahanan yang berdepan masalah mudah ditimpa kecederaan walaupun beraksi dengan baik apabila diturunkan, iaitu Eric Bailly.

Dalam musim pertamanya di Old Trafford, Bailly terpaksa berehat selama 38 hari akibat kecederaan lutut sebelum masalah berkaitan buku lali membuatkannya terpaksa diketepikan dalam 21 perlawanan bagi musim 2017/18.



Benteng sedia ada, Phil Jones, juga tersenarai dalam barisan pemain yang kerap ditimpa kecederaan, termasuk tempoh 71 hari direhatkan pada musim lalu akibat masalah pada bahagian paha, sekali gus membuatkan Mourinho tidak mampu untuk menanggung risiko yang tinggi dalam membawa masuk pemain yang mudah ditimpa masalah sama jika mendapatkan Alderweireld.

Tidak kira sama ada Mina, Maguire atau Alderweireld, apa yang pasti, The Red Devils harus bersedia dalam mempersiapkan barisan belakang untuk menghadapi cabaran musim 2018/19 dan jika terpaksa, mungkin Mourinho patut melihat kepada kelompok pemain daripada akademi pasukan seperti Timothy Fosu-Mensah, Axel Tuanzebe dan Ro-Shaun Williams.

Advertisement

Must Watch Video