Skip to main content

Rencana

Benitez bagaikan hero filem Hindustan

030517rafaelbenitez.jpg
Tiada siapa mampu menulis 'skrip' yang lebih manis buat Newcastle United untuk musim 2017.

Itulah ungkapan paling sesuai menggambarkan perjalanan Rafael Benitez selaku pengurus pasukan selepas diberi jangka masa terlalu singkat musim lalu untuk membawa The Magpies keluar dari divisyen satu liga inggeris dan kembali ke kancah liga perdana inggeris.

Dahulu sewaktu permulaan liga, ramai pengkritik mula menyuarakan pendapat masing masing terhadap kepercayaan penyokong tegar Newcastle United kepada Rafa Benitez yang tidak akan berbalas. Namun kini segalanya telah terjawab. Pengorbanan Rafa yang membuat keputusan kekal di Newcastle biarpun sekadar bermain di divisyen satu ternyata membuahkan hasil.

Biarpun pernah membimbing pasukan gergasi seperti Real Madrid, Chelsea dan Liverpool, Rafa bertegas mahu kekal di St James Park dan beliau berjaya mengembalikan status mereka selaku pasukan yang berhak bersaing di Liga Perdana Inggeris.

Untuk rekod, ini bukan pertama kali Newcastle United terjerumus ke kancah saingan divisyen 1, namun apa yang lebih mencuri perhatian adalah bagaimana mereka mampu segera bangkit selepas prestasi teruk musim 2015/16 lalu. Ditambah pula ketiadaan pemain dengan reputasi hebat, Rafa berjaya membuktikan bahawa semangat berpasukan adalah kunci utama kepada kejayaan The Magpies musim ini.

Dengan kejayaan kembali ke liga perdana, sudah tentu tekanan kembali memuncak buat pasukan Newcastle United untuk musim hadapan. Yang pasti, akan ada beberapa pembelian baru bagi memperkuatkan pasukan, Dan bagi peminat tegar The Toon, pastinya anda semua tidak sabar mahu menyaksikan perlawanan secara langsung di kaca TV. Akhirnya, Selamat kembali Newcastle United!

Advertisement

Must Watch Video