Untung juga khabar mengenai ‘surat cinta’ Lin Dan kepada Datuk Lee Chong Wei tersebar luas menerusi media sosial sejak kemenangan jaguh kebanggaan Malaysia itu ke atas seteru ketatnya dalam separuh akhir temasya Rio 2016, 19 Ogos lalu.
Gara-gara ‘surat cinta’ yang sudah disahkan palsu itu, Chong Wei menyerlahkan sisi dirinya yang sama-sekali berbeza daripada yang lazim dilihat selama ini.
Butir-butir kata Chong Wei dalam sidang akhbar selepas sambutan kepulangan wira dan wirawati negara di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin, harus menyingkap segala-galanya:
Wartawan: “Saya inginkan pengesahan mengenai satu surat yang dikatakan ditulis Lin Dan kepada anda.”
Chong Wei: “Apa tu? “
Wartawan: “Ada satu surat yang ditulis Lin Dan kepada anda?”
Chong Wei: “Mana ada. Tak ada, saya tak dapat. Itu tipu punya, siapa tulis sendiri. Saya tak dapat. No no. No this issue. Saya tak tulis, dia (Lin Dan) tak tulis.”
Kepada yang tidak berkesempatan menatap surat itu, ia antara lain kononnya memuatkan luahan hati Lin Dan selepas kekalahannya di Rio, yang di sebalik mengucapkan tahniah kepada lawannya mara ke final, turut mempertegaskan rekodnya sendiri kekal lebih baik.
Berikut antara sedutan terjemahan surat beremosi yang dikatakan ditulis Lin Dan dalam bahasa Cina itu:
“Kelmarin, bila aku nampak engkau membaling raketmu dan melompat ke udara sambil menjerit kegembiraan, aku betul-betul gembira untukmu. Kita sudah mengenali satu sama lain selama 16 tahun, sewaktu kita masih muda dan bertenaga.
“Waktu itu Taufik (Hidayat) dan Peter Gade (Christensen) yang jadi jaguh dan kita belum menarik perhatian dunia. Aku menang pada kali pertama kita berlawan dan kita berdua pasti tak akan sangka, berapa banyak lagi perlawanan yang kita akan bermain bersama.
“Kadang-kadang kau menang, kadang-kadang aku menang, membuatkan aku boleh berlagak sedikit di sini yang aku menang lagi banyak daripada kau sepanjang pertemuan kita.
“Ada orang panggil aku ‘Super Dan’ ketika aku menang, dan ada juga orang yang sedih tengok kau kalah kerana tuah kau sentiasa kurang sedikit berbanding aku, setiap pertandingan besar pasti aku yang menang.
“Di sini, aku nak berterima kasih kepada kau. Di sebalik menang kalah kita bersama, masih ada hubungan mesra ‘Lin-Lee’ di antara kita. Sebab engkaulah aku jadi lebih baik. Aku telah menjuarai hampir semua kejohanan tapi aku masih tak berani nak main-main bila ada kau. Kaulah yang buat aku seram sejuk setiap kali kita ke final dan kau berdiri di sebalik jaring.
“Bila aku tinggalkan kau beberapa mata, kau akan kejar setiap mata sepenuh hati dan aku tak akan biarkan kau jadi juara sesenang itu. Kau berlatih. Aku pun berlatih. Kau tak mengalah. Aku pun tak berani nak main-main dan curi tulang.
“Semua itu sudah berlalu, dan kita sekarang sudah pun menjadi tua. Ramai pemain baru sudah muncul dan kadang-kadang aku menghantar mesej dan bersembang dengan kau tentang bakat bakat muda ini.
“Mereka akan menempuhi kesukaran untuk menjadi juara, tak macam kita dulu sewaktu kita berdua saja yang bersaing untuk jadi juara.
“Tapi setiap kali aku jumpa kau di final, waktu itulah aku main dengan sepenuh hati. Pada kau sajalah, aku boleh menggunakan pedang yang aku asah sekian lama.
“Jadi sekarang kita di Rio, Olimpik keempat aku. Di separuh akhir, susah juga aku nak tewaskan pemain dari India tu (Srikanth Kidambi) tapi aku lepas juga. Bila semangat aku dah koyak, aku ingat janji aku dengan kau yang kita akan bertemu di semi final.
“Ini kali ke-37 aku bertemu dengan kau. Aku tewas dan tersungkur di hadapan kau tapi aku tidak sekali-kali menyesal! Kaulah lawan aku yang paling hebat. Aku pun sanggup dan rela kalah pada kau tanpa penyesalan. Bila aku peluk kau tempoh hari, aku rasa macam 10 tahun kita berkenalan.
“Aku akan bawa jersi kau kepada bakal anak aku dan beritahu kepadanya: ‘Dulu, pernah ada seorang pemain bernama Lee Chong Wei, lawan terhebat ayah dan kawan terbaik yang ayah pernah kenal.’
“Dapat berjumpa dengan kau ketika aku bermain di peringkat tertinggi adalah satu tuah bagiku. Selamat berjaya di final.”
Beremosi sekali membacanya tetapi penafian Chong Wei mengesahkan ia sekadar fiksyen, barangkali ditulis seorang peminat yang cuba menyelami apa yang dirasakan Lin Dan selepas kekalahannya. Cukuplah ia sekadar menjadi bacaan ringan.
“Itu reporter China sendiri tulis punya,” kata Chong Wei lagi. “ Itu tipu punya. You ingat kita (ber)cinta ke? Tulis surat ke (diiringi derai ketawa semua).”
Di sebalik ilusi penulis fiksyen itu, yang pertama kali dimuatkan dalam laman dailynews.sina.com, kedatangan ‘surat Lin Dan’ harus sedikit terlalu awal.
Lin Dan, dalam temubualnya dengan agensi berita AFP sejurus cabarannya di Rio berakhir dengan tangan kosong – dia turut tewas kepada Viktor Axelsen dalam perebutan gangsa -- menepis sebarang kemungkinan persaraan dalam tempoh terdekat ini.
“Saya belum memikirkannya. Selepas ini, saya akan berehat seketika dan akan menimbangkan langkah seterusnya,” katanya.
Chong Wei pula, pada ketika yang sama, menegaskan selagi dia mampu berjalan, masih boleh melompat, dia tidak harus berputus asa memburu gelaran utama.
Final Kejohanan Dunia di Glasgow dari 21-27 Ogos tahun depan harus menjadi kemuncak terbaik buat Chong Wei-Lin Dan asalkan Chen Long jangan menjadi pengacau sekali lagi.
Rencana