Skip to main content

Rencana

Belajar dari mereka!

21916paralimpik.jpg
Sukan Olimpik dan Paralimpik 2016 di Rio akan terpahat di hati semua rakyat Malaysia. Pencapaian terbaik semenjak penyertaan negara di Sukan Olimpik dan juga Paralimpik.

Di Olimpik, empat pingat perak dan satu gangsa, manakala Paralimpik pula tiga emas dan satu gangsa.

Di sini, saya amat tertarik melihat pencapaian atlet Paralimpik kita, yang kita harapkan membawa pulang emas pertama buat negara. Bukan satu tetapi tiga pingat emas yang mereka bawa pulang.

Melihat atlet Paralimpik mencapai kejayaan baru-baru ini, membuatkan saya terfikir -- kenapa mereka begitu istimewa? Bagaimana mereka dapat mencapai kejayaan? Bagaimana mereka dapat mengatasi halangan-halangan dalam hidup? Mengapa mereka mampu untuk mencapai perkara-perkara, yang manusia biasa seperti anda dan saya yang hanya boleh bermimpi?

Lihat sahaja kesungguhan mereka, keinginan mereka, komitmen, disiplin, motivasi mereka. Semuanya bertitik tolak kepada dua perkara -- semangat dan kesetiaan.

Kedua-dua faktor ini adalah apa yang atlet-atlet kita boleh belajar daripada atlet Paralimpik ini.

Kekurangan dari segi fizikal, mereka tunjukkan kesungguhan mereka untuk berjaya, semangat mereka dan kesetiaan mereka kepada negara yang tercinta.

Ada juga atlet kita yang tidak mahu mewakili negara atas sebab sebab tertentu. Mana kesetiaan kamu kepada negara?

Atlet-atlet normal harus menjadikan atlet istimewa ini sebagai model peranan dalam mencapai kejayaan untuk negara dalam kejohanan antarabangsa pada masa hadapan.

Atlet Paralimpik telah membuktikan kepada kita bahawa kekurangan, ketidaksamaan dan halangan bukanlah alasan. Kita boleh atasi semua ini dengan keazaman, keinginan untuk mencapai sesuatu dalam hidup, serta membuat perubahan, itulah yang penting.

Sia-sia sahaja kalau kita yang cukup sifat serta cukup segala-galanya, termasuk bakat, kebolehan, kemahiran dan kreativiti tetapi kurang dari segi semangat, keinginan dan kesetiaan kepada negara.

Kepada Mohamad Ridzuan Puzi, Abdul Latif Romly, Ziyad Zolkefli, Siti Noor Radiah Ismail dan yang lain-lain, terima kasih di atas kejayaan anda, membuatkan kita belajar dan buka mata.

Kejayaan anda juga memberikan sinar kepada generasi muda kurang upaya, yang kini saya pasti ramai yang ingin mengikuti jejak langkah anda semua.

Tahniah juga kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia di atas usaha dan menyediakan satu platfom buat kelompok kurang upaya berjaya dalam mengejar impian mereka.

Advertisement

Must Watch Video