Skip to main content

Rencana

BBBB - Bielsa Bukan Biashe-Biashe

marcelobielsa.jpg
Hari ini penulis nak bercerita mengenai satu individu yang sangat-sangat 'low profile' tapi mempunyai visi yang amat besar.

Marcelo Alberto Bielsa Caldera ataupun lebih dikenali dengan nama Marcelo Bielsa. 'Otai' berusia 65 tahun ini merupakan individu yang bertanggungjawab membawa kelab yang penuh dengan sejarah iaitu Leeds United kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas 16 tahun terhumban ke saingan 'Championship'. Namun itu hanyalah cebisan cerita dari sebahagian ceritera unik yang pernah diukir oleh individu yang popular dengan gelaran "El Loco" ini.

1. Bielsa merupakan 'sifu' kepada dua jurulatih ternama iaitu Pep Guardiola dan Mauricio Pochettino. Pep pernah 'terbang' ke Argentina selama dua tahun untuk menuntut ilmu sebelum mengambil jawatan jurulatih di Barcelona. Bagi Pocchetino pula, Bielsa merupakan individu yang mengetengahkan bakatnya sewaktu berusia 13 tahun di kelab Newells Old Boys. "El Loco" selalu dijadikan bahan rujukan buat Pochettino untuk merencana taktikal dan corak permainan pasukan yang dikendalikan.

2. Pemilik Leeds United, Andria Radrizzani menghantar dua wakilnya iaitu Victor Orta dan Angus Kinnear ke Buenos Aires untuk berjumpa dengan Bielsa. Pertemuan itu berlangsung selama 12 jam dan langsung tidak membincangkan mengenai bayaran dan wang! 

3. Bielsa hanya mahukan kebebasan dalam menerapkan peraturan kelab dari segi disiplin pemain, pemakanan, fasiliti kelab, teknologi perubatan dan juga ideologi teras asas kelab mengikut acuannya tanpa memikirkan soal gaji. Siapa kata no money no talk? Atuk ni steady je tak bincang bab duit tau!

4.  Paling utama! Bielsa mengutamakan moraliti dan paling mendapat perhatian, di musim pertama beliau mengarahkan pemain-pemainnya mengutip sampah dan membersihkan kawasan sekitar stadium selama tiga jam! Ianya umpama perkara simbolik yang dilakukan para pemain sebagai penghargaan kepada penyokong yang datang ke stadium.

5. Method yang digunakan Bielsa juga sangat sulit dan ketat. Biarpun tidak 'segarang' dahulu, namun pemain-pemain Leeds United yang dahulunya hanya menghabiskan masa 1-2 jam sehari di padang latihan, tetapi selepas kehadiran Bielsa, mereka menghabiskan 8-9 jam sehari di pusat latihan Thorp Arch.Malah berat badan pemain juga diperiksa setiap hari agar pemain sentiasa fit dan mempunyai otot yang berkualiti. Lihat sahaja bagaimana perubahan pemain semasa Leeds United. 

6. Adil. Disebalik latihan, disiplin dan rangka kerja yang agak keras, namun Bielsa juga bersikap adil dengan  meminta kelab menyediakan meja pool, menaik taraf kolam renang dan play station untuk pemainnya beristirehat. Cool kan atuk ni?

7. Enam minggu adalah masa yang diperlukan untuk Bielsa berunding dengan ejen untuk menyewa rumah flat di atas sebuah kedai. Biarpun pemilik kelab menyediakan sebuah hotel sebagai tempat tinggal, tetapi Bielsa lebih selesa tinggal di kawasan yang tidak sibuk, tambahan pula dia lebih selesa berjalan kaki ke padang latihan. Tengok, gaji banyak pun, Bielsa lebih selesa merendah diri dan tidak memandu kereta mewah  atau memakai barangan berjenama! Cukup sekadar memakai pakaian yang diberikan oleh kelab.

8. Ibarat wakil rakyat di Leeds. Kehadiran Bielsa amat disenangi penduduk setempat yang begitu mesra dengan pendekatannya. Costa Coffee, pasaraya Morisson, Coopland dan restoran Sant Angelo adalah tempat dimana Bielsa sering kelihatan. Nak ambil gambar dengan atuk? Anytime anywhere.

9. Seorang peminat fanatik Leed United,  Tony Clark yang menetap di Bali Indonesia telah membina sebuah patung logam seberat 75kg menyerupai Bielsa dan menariknya, patung tersebut telah ditempatkan di kawasan stadium. Tony Clark adalah mangsa yang terselamat sewaktu pengeboman Bali pada 2002.

10. Disebalik kejayaan seorang lelaki, pastinya ada seorang wanita. Bagi Bielsa, Laura Bracalenti adalah insan istimewa yang sentiasa menemani Bielsa. Ditanya media bagaimana beliau mengharungi hidup bersama Bielsa, Laura secara berseloroh berkata "saya selalu pesan agar dia selalu mengukir senyuman"

Advertisement

Must Watch Video