Skip to main content

Rencana

Barisan mantap galas cabaran negara di China

301217masu23.jpg
Mungkin pengguguran pemain tengah Perak, Khairil Anuar Zamri daripada senarai 23 pemain skuad bawah 23 tahun negara ke Kejohanan AFC Bawah 23 di China sedikit mengejutkan kali ini.

Apa tidaknya, Khairil Anuar yang mesra dipanggil Beto sememangnya kita ketahui seorang pemain yang berbakat dan terbukti mampu menggalas tugas di peringkat antarabangsa seperti yang dilakukannya ketika mewakili skuad senior kebangsaan sebelum ini.

Namun, rezekinya bersama skuad muda negara belum ada. Ini kali kedua Beto digugurkan selepas skuad ke Sukan Sea Kuala lumpur, Ogos lalu. 


Ia situasi berbeza dengan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi dan pertahanan Dominic Tan apabila kedua-dua pemain itu kali ini berjaya menawan hati Datuk Ong Kim Swee selepas disingkirkan ekoran kecederaan dan persaingan dalam pasukan.

Selain Beto, dua lagi pemain termasuk pemain PJ Rangers, Raphi Azizan Mariappen dan K Thivandaran turut digugurkan daripada senarai 23 pemain yang diumumkan Kim Swee, pada Jumaat.

Keputusan Kim Swee itu dibuat selepas tiga aksi persahabatan di Korea Selatan yang menyaksikan satu kemenangan dan dua seri.

Menerusi kenyataan di laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia, Kim Swee menjelaskan tiga pemain yang digugurkan itu dilihat masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lama.

Walaubagaimanapun, penulis melihat daripada sisi berbeza. Sebenarnya Beto berdepan persaingan yang cukup sengit untuk merebut tempat di posisi tengah. 

Ketika Nor Azam Azih, Syamer Kutty Abba dan Danial Amier Norhisham sudah dijamin tempat berdasarkan prestasi masing-masing, kehadiran Nik Akif Syahiran Nik Mat jelas menggugat tempat Beto.

Penulis berasakan Nik Akif, pemain skuad bawah 19 tahun negara berjaya memikat Kim Swee menerusi persembahan menyakinkan sejak aksi persahabatan di Kuala Lumpur terutama ketika bertemu Melaka di Stadium Shah Alam.

Kelibatnya seolah mampu memberi kekuatan berbeza kepada skuad muda negara walaupun baru berusia 18 tahun. Selain Nik Akif, tiga pemain lain daripada skuad bawah 19 tahun negara yang turut terpilih ialah Hadi Fayyadh Abdul Razak, Akhyar Rashid dan Shivan Pillay Asokan.

Keseluruhannya, penulis melihat barisan 23 pemain kali ini adalah lebih baik berbanding dua tugasan sebelum ini iaitu ketika aksi kelayakan di Bangkok, Julai lalu dan temasya KL2017.

Ramuannya sedikit berbeza tetapi ada aura untuk menghadirkan persaingan hebat kepada pasukan-pasukan handalan di peringkat kumpulan dengan formasi 3-4-3 bakal jadi taruhan Kim Swee.

Menariknya juga, ramai pemain yang mampu bermain lebih daripada satu posisi antaranya Matthew Davies, Syahmi Safari, N. Thanabalan, Adam Nor Azlin. Penulis yakin barisan pemain kali ini mampu memberi impak berbeza untuk cabaran getir di China nanti.

Advertisement

Must Watch Video