Skip to main content

Rencana

Barcelona tanpa Messi

messi.jpg
Barcelona bakal berdepan cabaran besar untuk memulakan kempen La Liga musim ini selepas bintang utama, Lionel Messi masih bergelut dengan masalah kecederaan.
 

Selepas gagal membantu Argentina menjuarai saingan Copa America di Brazil bulan lepas, Messi kini masih belum pulih daripada masalah di bahagian betis.

Situasi itu juga menyebabkan dia terpaksa disisihkan daripada kempen pramusim di Amerika Syarikat sewaktu berdepan gergasi Itali, Napoli.

"Saya gembira jika Messi sedang bercuti tetapi dia kini cedera. Saya boleh katakan dia mampu beraksi menentang Athletic Bilbao tetapi ia tampak sukar," kata pengendali pasukan, Ernesto Valverde.

Ketiadaan Messi bermakna Barca terpaksa mempertaruhkan Luis Suarez dan penyerang baru dari Atletico Madrid, Antoine Griezmann, sambil Philippe Coutinho juga berkemungkinan tidak dapat disenaraikan kerana bekas tonggak Liverpool itu semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan ke PSG.

Lebih memburukkan keadaan, Barca juga terpaksa melupakan khidmat penjaga gol yang baru hadir dari Valencia, Neto, setelah pemain dari Brazil itu juga mengalami masalah kecederaan di bahagian pergelangan tangan.

Penjaga gol 30 tahun itu menjalani pembedahan Selasa lalu dan ketiadaan Neto memaksa Ernesto Valverde membawa pemain daripada Barcelona B, Inaki Pena, ke dalam skuad utama menjelang aksi pembukaan La Liga menentang Bilbao, Sabtu ini.

Ketiadaan Messi, Neto dan Coutinho juga bakal menyebabkan kewibawaan barisan tengah Barca yang diperkuatkan oleh nama besar seperti Sergio Busquets, Frenkie de Jong, Arthur, Ivan Rakitic, Aleix Vidal dan Ousmane Dembele diuji kerana pastinya posisi itu menjadi pertaruhan utama Valverde untuk mencipta serangan dan mengekang asakan.

Bagaimana Barcelona tanpa Messi? Tunggu dan lihat.

Advertisement

Must Watch Video