Skip to main content

Rencana

Barcelona ada bekalan

antoine-griezmann.jpg
Ketika berhadapan dengan Napoli di Stadium San Paolo dalam pusingan pertama 16 pasukan Liga Juara-Juara Eropah tidak memberi tekanan kepada Barcelona, sebaliknya anak-anak buah Quique Setien itu menguasai permainan. 

Mengekalkan formasi 4-3-3 dan falsafah permainan itu membuatkan pemain-pemain Napoli terpaksa bertahan bagi mengekang kelincahan pemain-pemain hadapan Barcelona, terutama Lionel Messi.

Namun, anak-anak buah Gennero Gattuso itu masih lagi mampu bertahan sehingga berjaya melakukan kejutan kepada Messi dan rakan-rakannya apabila Dries Mertens menjaringkan gol pertama Napoli melalui rembatan deras dari luar kotak penalti. 

Walaupun Barcelona cuba bangkit selepas jaringan Napoli itu, mereka masih tidak berjaya sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula sahaja separuh masa kedua, Barcelona terus menggandakan usaha menyusun serangan untuk mencari jaringan penyamaan. 

Sergio Busquets, Frenkie de Jong dan Ivan Rakitic terus memainkan peranan mereka sebagai pengerak utama Barcelona dengan merencanakan pelbagai gerakan mengunakan kreativiti menyalurkan bola kepada rakan-rakan mereka di bahagian serangan dan akhirnya Antoine Griezmann berjaya melakukan jaringan di dalam kawasan penalti.

Selepas jaringan penyamaan itu, sudah pasti menjadi kelebihan kepada Barcelona melalui jaringan di tempat lawan sebelum pusingan kedua nanti dan permainan menjadi lebih hangat dengan corak permainan yang lebih agresif di pamerkan oleh kedua-dua pasukan sehingga Arturo Vidal dilayangkan kad merah setelah menerima kad kuning kedua. 

Namun, ia tidak memberi kesan kepada Barcelona walaupun bermain sepuluh orang sehingga tamat permain dan akhirnya Barcelona membawa bekalan yang cukup ketika pusingan kedua di Camp Nou nanti.

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found