Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi?

Ahmad Noor Iman Hakim Rakib masih baru dalam arena sukan negara. Dia bakal membuat penampilan sulungnya dalam Kejohanan Dunia di Manchester, England, yang turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Seorang atlet yang baru berusia 19 tahun tetapi memiliki semangat kental dan darah seorang pejuang.

Dia mewarisinya daripada bapanya, Raqib Ahmad - bekas peninju negara era 90-an.

"Saya berbangga menjadi anak Raqib. Orang tahu dia seorang peninju yang memiliki semangat kental dan kuat.

"Tapi saya lebih mirip ibu, seorang yang lemah lembut tetapi tegas. Jadi, saya fikir, taekwondo lebih sesuai dengan saya," kata Iman.

Raqib merangkul pingat gangsa kategori 58kg Sukan Komanwel 1998 melengkapkan kejayaan Sapok Biki yang raih emas kategori 48kg dalam temasya itu.

Beliau kemudian bersara dan fokus terhadap perniagaan menjual peralatan sukan seni mempertahankan diri di Rantau Panjang, Kelantan.

Minat mendalam terhadap seni mempertahankan diri mendorong Raqib melatih Iman menyertai taekwondo sementara adiknya, muay thai.

"Saya harap dapat membanggakan papa. Saya mahu mengatasi pencapaiannya.

"Papa raih gangsa Sukan Komanwel, saya mahu pingat Sukan Olimpik," kata Iman.

Moga Iman mencapai impiannya.

Realitinya, dia memang berpotensi selepas merangkul emas kategori 63kg Sukan Malaysia (Sukma) 2018, gangsa Kejohanan Taekwondo Universiti Dunia 2018 dan emas Kejohanan Asia Tenggara 2019.