Skip to main content

Rencana

Bangga jadi anak Malaysia

20817malaysia.jpg
"Saya tak tahu nak cakap macam mana, apa yang saya boleh cakap, saya bangga jadi anak Malaysia", Itu reaksi salah seorang pengunjung ketika ditemui penulis sejurus berakhir upacara pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Sabtu.

Dia dan pasangan datang dari Ipoh, Perak semata-mata mahu menjadi saksi malam gilang gemilang itu. Nampaknya, perjalanan mereka ke Bukit Jalil berbaloi berdasarkan apa yang diluahkan beliau.

Bukan pasangan itu sahaja, penulis juga sempat mendapatkan reaksi beberapa orang lagi terdiri pelbagai bangsa dan agama daripada kanak-kanak sehinggalah dewasa.

Penulis juga tidak melepaskan peluang mendapatkan reaksi warga asing yang turut menyaksikan majlis yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Rata-ratanya menzahirkan perasaan bangga dan teruja dengan kemampuan Malaysia memastikan upacara pembukaan KL2017 berlangsung penuh gilang gemilang.

Bertemakan 'Bangkit Bersama' upacara berlangsung dengan penuh pertunjukkan warna-warni yang menonjolkan kepelbagaian budaya dan kesenian tempatan dan elemen itu diangkat sebagai unsur utama sepanjang pertunjukkan untuk melengkapkan kemeriahan di venue serba moden yang baru dinaik taraf.

Gimik yang mula menarik perhatian penonton adalah ketika maskot rasmi 'Rimau' diperkenalkan sebelum diikuti perarakan masuk 11 kontinjen negara bertanding dan suasana menjadi gamat apabila perbarisan masuk barisan kontinjen Malaysia.

Menariknya kontinjen negara diketuai tiga pembawa Jalur Gemilang - Azizulhasni Awang (berbasikal), Cheong Jun Hoong (terjun) dan Al Jufferi Jamari (silat) kelihatan segak dan cantik mengenakan persalinan baju kurung pesak serta baju Melayu moden yang direka khas

Penonton di stadium berkapasiti 100,000 itu kemudian terpukau menikmati persembahan ala-ala muzikal dengan pencahayaan lampu LED menjadi kekuatan gimik yang cuba ditampilkan.

Penonton kemudian dikejutkan dengan aksi penuh dramatik nyalaan obor. Nur Dhabitah Sabri "diterbangkan" untuk menyalakan obor kawah temasya KL2017 yang kemudiannya mendapat sorakan padu 84 ribu penonton di stadium berkenaan, jelas menunjukkan seluruh negara berbangga dengan bintang terjun negara itu.

Detik dan saat itulah yang paling digemari oleh rata-rata penonton yang hadir menyaksikan upacara perasmian itu. Kemuncak upacara menyaksikan persekitaran Stadium Nasional Bukit Jalil diterangi dengan percikan bunga api.

Penulis juga berasakan, upacara perasmian itu amat mengujakan walaupun sebelum ia berlangsung penganjur berdepan dengan masalah cuaca. Apa pun, upacara gilang gemilang ini seharusnya menjadi pemangkin buat atlit negara untuk menjadi yang terbilang pada temasya kali ini.

Advertisement

Must Watch Video