Skip to main content

Rencana

Bale, Zidane kena ‘main’

bhale-cover.jpg
Hajat Zinedine Zidane nampaknya tertangguh, niat Gareth Bale pula tergantung sambil Florentino Perez yang mungkin tampil pemenang dalam sengketa pengurus-pemain berkenaan.

Dalam perkembangan terbaru yang memeranjatkan ramai, perpindahan Bale ke kelab Jiangsu Suning dengan kontrak tiga tahun dan gaji £1 juta (RM5.09j) seminggu harus tidak terlaksana, begitu juga Zidane yang tidak sabar-sabar untuk melihat pemain antarabangsa Wales itu segera angkat kaki.

Kedua-duanya harus tunduk kepada kehendak Perez – presiden Real Madrid paling berkuasa – yang membuat pusingan ‘U’ dengan memaklumkan kelab Liga Super China (CSL) itu bahawa mereka tidak boleh mendapatkan Bale secara percuma, sebaliknya harus bersetuju membayar yuran perpindahan.

Bukan saja Bale yang kecewa, malah ia turut menimbulkan rasa berang Zidane, yang berkira-kira untuk mendatangkan Paul Pogba daripada Manchester United bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain itu.

Malah, semua itu – seperti dilaporkan akhbar British, The Sun -- membawa kepada kemungkinan yang sama-sekali berbeza – Zidane yang mungkin lebih dahulu angkat kaki daripada Bale yang jelas tidak disukainya.

Situasi itu sudahpun berlaku sekali sebelum ini dan tiada siapa harus berasa pasti yang ia tidak akan berulang lagi, apatah lagi dengan campur tangan Perez.

Maka, tidak hairanlah apabila Bale menjaringkan satu gol cantik dalam final Liga Juara-Juara (UCL) menentang Liverpool di Kiev, 14 bulan lalu, pengurus berbangsa Perancis itu tidakpun berkata apa-apa, jauh sekali menghamburkan pujian.

Dengan Cristiano Ronaldo sudah membuat keputusan untuk angkat kaki ketika itu, Zidane pula mengumumkan peletakan jawatannya lima hari selepas final berkenaan tapi kegembiraan Bale dengan perubahan nasibnya itu, tidak lama.

Igauan kembali menghantuinya apabila Zidane dilantik semula menggantikan Santiago Solari, Mac lalu, dengan persetujuan bersyarat bahawa Perez hendaklah menyisihkan Bale daripada pasukan dengan apa cara sekalipun.

Bukan juga tidak diketahui oleh pengurus itu, Perez sebenarnya meminati Bale dan sudah melakukan sedaya mungkin untuk pemain itu menghabiskan baki kontrak tiga tahunnya di Santiago Bernabeu.


MACAM NAK AJAK GADUH... Zidane dan Bale bukan lagi rahsia saling tidak menyukai

Kini, dengan pusingan ‘U’ yang dibuatnya, Bale harus tidak jadi ke China manakala Zidane pula perlu terus menerima kehadirannya – di sebalik kedua-duanya sudah dua tahun tidak bertegur-sapa.

Barangkali juga semua ini satu “kebetulan” selepas Zidane dan pasukannya diaibkan 7-3 oleh Atletico Madrid dalam satu perlawanan pramusim di Amerika Syarikat pagi kelmarin, yang menimbulkan keberangan Perez.

Harus ia satu kebetulan juga, selepas perpindahan ke China terbatal, Bale akan kembali membarisi kesebelasan utama Real untuk berdepan bekas kelabnya, Tottenham, dalam perlawanan separuh akhir Piala Audi di Allianz Arena, awal Rabu ini.

Seterusnya, mengandaikan Real membuat permulaan buruk dalam LaLiga bermula bulan depan – kelab itu ketika ini dilihat jauh daripada serba sempurna – barangkali Zidane yang akan lebih dahulu angkat kaki dari Madrid.

Siapa tahu dengan Bale tidak jadi ke China – jendela perpindahan pemain CSL ditutup Rabu ini – Zidane yang akan mencari kerja di negara itu selepas ini.


 

Advertisement

Must Watch Video