Skip to main content

Rencana

Baguslah dah ada tarikh baru Tokyo 2020

tokyo-olimpik.jpg
Tahniah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan kerajaan Jepun kerana bertindak pantas menetapkan tarikh baharu Sukan Olimpik Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 dan Sukan Paralimpik Tokyo dari 24 Ogos hingga 5 September - tepat setahun dari tarikh asal yang dirancang sebelum belenggu Covid-19.

Tarikh baharu itu dipersetujui selepas satu persidangan telefon dilakukan pada Isnin - berdasarkan pertimbangan bagi melindungi kesihatan atlit dan mereka yang terlibat, mencegah penularan Covid-19 serta menjaga kepentingan atlit, imej temasya dan kalendar sukan antarabangsa.

Penetapan tarikh baharu yang diadakan seminggu selepas IOC dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe bersetuju menunda temasya ini ekoran Covid-19 telah memberikan lebih banyak masa untuk semua pihak kembali mengatur perancangan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun hadapan.

Tempoh setahun ini juga diyakini ramai pemerhati sukan dunia sebagai tempoh paling ideal bagi IOC merangka sesi pemilihan dan kelayakan atlit yang tertunda tanpa banyak mengganggu jadual lain-lain kejohanan utama yang boleh memadatkan kalendar sukan pada 2021.

Kejohanan yang perlu melepasi Sukan Olimpik seperti Kejohanan Olahraga Dunia yang sepatutnya berlangsung pada 2021 di Oregon, Amerika Syarikat pula menyaksikan penganjurnya boleh bermesyuarat bersama Persatuan Sukan Komanwel dan Kesatuan Sukan Eropah bagi mencari satu tarikh baharu pada 2022 dengan pengesahan Sukan Olimpik Tokyo pada sekitar Julai dan Ogos tahun hadapan.

Keputusan IOC untuk mengekalkan kedudukan semua atlit yang sudah layak dan kuota ke Tokyo 2020 antara yang mendapat pujian banyak negara peserta, selain dianggap sebagai keputusan yang cukup adil selepas kumpulan ini bekerja keras mengumpul mata kelayakan sejak 2019.

Walaupun pedih kerana perlu menerima hakikat penangguhan Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik pertama dalam sejarah, IOC dan Jepun telah membuat keputusan yang tepat pada masanya dengan negara matahari terbit itu telah pun mencatatkan lebih 1800 kes Covid-19 membabitkan lebih 50 kematian.

Kekacauan ekoran Covid-19 juga mengganggu 205 negara peserta lain dengan peningkatan jangkitan pandemik ini semakin membimbangkan, terutamanya Amerika Syarikat yang tiba-tiba melonjak tinggi serta negara-negara Eropah seperti Itali dan Sepanyol, manakala Malaysia antara negara dari rantau Asia Tenggara yang terjejas dengan lebih 2000 kes Covid-19 membabitkan lebih 43 kematian setakat artikel ini diterbitkan.

Advertisement

Must Watch Video