Skip to main content

Rencana

Bagaimana saya hampir terlepas menjadi sejarah Malaysia

img_1304.jpg
Hanya kerana 47 halaman dilampir kemas didokumenkan sebagai Passport Malaysia saya berdepan kemungkinan musnahnya impian Olimpik sulung peribadi.
Tetapi itu yang terjadi saat menyedari passport saya hilang di kota Amsterdam sewaktu transit dari Kuala Lumpur untuk penerbangan terakhir ke Rio De Janeiro.

Hanya yang Maha Esa paling tahu apa yang bermain di benak fikiran dan sudut hati saya menerusi dugaan paling besar sejak bergelar pewarta sukan Malaysia.

Tetapi saya bersyukur memiliki sistem sokongan yang utuh daripada kalangan keluarga, sahabat malah kenalan baru yang ikhlas membantu saya dalam pengembaraan untuk kembali ke Olimpik Rio.

Selesai memperolehi dokumen yang diperlukan untuk kembali ke tanah air, di The Hague Belanda, saya memulakan perjalanan dari Amsterdam ke Turki, dan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA ,terus ke Putrajaya melalui pelbagai prosedur untuk mendapatkan passport baru.

Harus saya mengakui, saya hampir menyerah kalah menghadapi cabaran ini, tetapi memikirkan detik Olimpik yang bakal terbit daripada kontinjen negara saya suntik kembali semangat.

Kepada setiap individu yang membantu saya, terlalu ramai untuk saya sebut nama anda, tulus daripada hati, saya ucapkan terima kasih dan hanya Allah SWT sahaja mampu balas budi dan jasa anda.

Perjalanan kembali ke Brazil membawa saya singgah semula ke Amsterdam, transit di Paris, sebuah kota yang berada dalam senarai kunjungan idaman, sehinggalah akhirnya menjejakkan kaki di bumi Rio De Janeiro.

Waktu itu hilang segala penat lelah saya dengan moral untuk bertugas di kemuncak prestasi membakar semangat menantikan tiba liputan kempen skuad badminton negara, keghairahan peribadi saya.

Begitu banyak kenangan yang mereka berikan kepada saya,Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, yang cipta sejarah sebagai beregu campuran pertama Malaysia layak ke pentas final Olimpik.

Bagaimana Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, memusnahkan beregu terbaik dunia Lee Yong Dae/Yoo Yeon Seong, di suku akhir dalam laluan mereka mengulangi pencapaian Yap Kim Hock/Cheah Soon Kit, dua dekad lalu di Atlanta 1996.

Tak ketinggalan detik sukan sepanjang zaman menerusi pertembungan dua gergasi Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan, dalam aksi epik yang mendefinisikan sebuah era gemilang badminton dunia untuk Chong Wei, akhirnya menghapuskan badi ke atas seterunya itu di medan Olimpik.

Kemuncaknya sudah pasti aksi final dengan saya berasakan satu penghormatan untuk membawakan liputan itu kepada Malaysia bersama kalangan individu yang saya pandang sebagai inspirasi, Hafizal Hamad dan Akbar Sahari perantara di studio dengan Haji Zainal Abidin Rawop sebagai pengulas, "Dream Team".

Saat Chong Wei dipaksa mengulangi duka dia dua Olimpik sebelum ini, kami berempat berkongsi emosi ikon negara ini bersama anda Malaysia, apa yang anda lihat tidak mampu untuk disandiwarakan, jujur saya katakan, belum pernah terbit rasa bangga seperti ini menjadi seorang rakyat Malaysia.

Tujuh hari dari Malaysia ke Brazil merangkumi 66 Tempoh jam penerbangan dan transit hanyalah cabaran kecil jika dibandingkan pengorbanan Olimpian Negara.

Empat Perak satu Gangsa dan tiga daripadanya menerusi Badminton, penghormatan yang tiada tandingan nilainya.

Terima kasih semua!

Advertisement

Must Watch Video