Skip to main content

Rencana

Badminton mula rasa bahang...

1_11.jpg
Pasukan badminton negara akan menghadapi satu kejohanan berpasukan penting Februari ini iaitu Kejohanan Berpasukan Asia (ABC) yang juga bertindak sebagai kelayakan ke kejohanan berprestij berpasukan dunia iaitu Piala Thomas dan Piala Uber.

Undian menyaksikan pasukan lelaki diletakkan dalam Kumpulan C bersama Taiwan, Thailand serta Myanmar dan skuad wanita pula dalam Kumpulan Y bersama Thailand, Vietnam dan Filipina.

Di atas kertas, saya pasti Malaysia, sama ada pasukan lelaki atau wanita tidak berdepan masalah layak ke suku akhir tetapi ujian utama ialah di separuh akhir dan mencari salah satu daripada empat slot automatik ke pusingan akhir Piala Thomas / Uber 2018 di Bangkok, Thailand.

Saya tidak mahu mengulas mengenai pasukan wanita tetapi lebih tertarik untuk berbicara mengenai skuad lelaki. Pada saya persiapan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk kejohanan ini tidak tersusun serta banyak pancaroba.

Saya lihat Persatuan Badminton Malaysia BAM tampak terdesak dan hilang arah kerana ketiadaan pemain yang berkaliber. Datuk Lee Chong Wei sudah dimamah usia dan meneruskan sisa-sisa kudrat yang masih ada untuk terus beraksi. Kelemahan perseorangan kedua, ketiga dan keempat begitu ketara.

Begitu juga dengan beregu. Goh V Shem / Tan Wee Kiong belum meyakinkan. Pasangan muda Teo Ee Yi / Ong Yew Sin tidak konsisten. Bagi saya apa yang dihadapi BAM mungkin sudah diduga dengan perkembangan serta banyak perubahan yang berlaku dalam kem badminton bermula akhir tahun lalu.

Sebenarnya saya lihat BAM tidak memiliki satu program khusus untuk Piala Thomas. Semuanya dibuat secara 'ad-hoc' atau sementara mungkin tidak keterlaluan saya katakan seperti 'tangkap muat". Bagi saya Piala Thomas tidak lagi menjadi satu keutamaan.

Satu-satunya program khusus yang ada untuk saingan Piala Thomas negara satu ketika dahulu ialah ketika dibawah kepimpinan Tan Sri Elyas Omar. Bermula pada 1985, ia program yang cukup tersusun berhasil menyaksikan Malaysia menjulang Piala Thomas pada 1992. Kelompok pemain ketika itu juga tidak banyak berubah.

Tetapi dalam dekad terakhir ini saya tidak lihat atau dengar ada program yang seumpamanya. Cuma ada program jangka panjang untuk Sukan Olimpik tetapi tidak untuk Piala Thomas ataupun Piala Thomas tidak menjadi sebahagian daripada program jangka panjang itu dengan acara individu lebih menjadi keutamaan.

Persediaan BAM tampak lebih bersandarkan kepada nasib atau takdir. Kalau nasib baik kita boleh masuk final, kalau tidak, tak apa. Bagi saya ini bukan jalan ke hadapan (moving foward). Perancangan tidak boleh secara ad-hoc tetapi perlu ada satu pembaharuan yang jitu dalam usaha untuk merampas kembali Piala Thomas yang perlu jadi keutamaan. Perlu ada fokus, tekad dan wawasan.

Seandainya pendekatan atau pendirian ini tidak ada, maka tidak perlulah bersusah payah meletakkan pasukan jika hanya sekadar untuk memberi cabaran dan bukan untuk menjulang piala.
 

Advertisement

Must Watch Video