RENCANA
Ayuhlah Alto Linus!
Alto Linus mungkin sudah berusia 32 tahun, namun prestasi luar biasanya sejak akhir-akhir ini membuktikan bahawa faktor usia bukanlah menjadi ukuran.
Namanya sebenarnya bukanlah asing dalam kalangan penyokong Sabah apabila mula menyertai skuad utama Negeri Di Bawah Bayu itu pada 2009 sebelum berhijrah ke T-Team pada 2013.
Bagaimanapun, jodohnya dengan T-Team tidak berpanjangan apabila kembali ke pangkuan Sabah pada pertengahan musim 2014 dan sejak itu, penampilannya dalam kesebelasan utama boleh dikatakan tenggelam timbul.
Iklan
Alto juga pernah sekali mendapat panggilan skuad kebangsaan pada 2012 di mana ketika itu pasukan negara yang dikendalikan K. Rajagobal sedang menghadapi saingan kelayakan Piala Asia 2015.
Walaupun sering memanaskan bangku simpanan sejak awal musim ini, anak jati Keningau itu kini membuktikan betapa dia layak untuk berada dalam kesebelasan utama Jelius Ating.
Semuanya bermula apabila rakan sedaerahnya, Maxsius Musa, mengalami kecederaan dan terpaksa direhatkan untuk beberapa perlawanan.
Kepercayaan dan peluang yang diberikan Jelius bagi menggantikan Maxsius ternyata tidak disia-siakan Alto, malah setiap aksinya di atas padang dibalas dengan hamburan pujian, khususnya oleh penyokong Tambadau.
Walaupun bermain di posisi sayap kanan, Alto kini telah meledak empat gol, termasuk dua gol kemenangan dan tiga bantuan gol dalam sembilan penampilannya sebagai kesebelasan utama setakat ini.
Kini, nama Alto Linus semakin menjadi buah mulut penyokong Sabah kerana aksi-aksi liciknya yang mampu melakukan larian-larian menarik sehingga membuatkan pertahanan lawan terkapai-kapai untuk mengawalnya.
Malah, video aksi dia mengelecek, serta meng'ayam'kan pemain lawan turut menjadi tular di media sosial sehingga ada dalam kalangan netizen berpendapat pemain itu patut mendapat panggilan daripada skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe.
Bolehkah Alto?
Dengan prestasi terbaiknya ketika ini, pendapat netizen itu bukanlah keterlaluan sangat kan? Lebih-lebih lagi sekarang Sabah bukan 'team biasa-biasa' bosku!
Kehadiran Alto dalam kesebelasan utama sememangnya telah memberi impak kepada persembahan Sabah setakat ini, dan ia juga diakui Jelius sendiri.
Daripada sembilan perlawanan terakhir Tambadau, mereka hanya kalah sekali, seri dua kali dan menang enam kali, malah kini berada persada Liga Perdana.
Apapun komen dan pandangan yang dilontarkan terhadap Alto ketika ini, bagi penulis, pemain itu adalah permata lama Sabah yang kini kembali bersinar.
Teruskan aksi-aksi cemerlangmu Alto, buktikan usia bukan penghalang kerana ada pepatah mengatakan 'tua-tua keladi, semakin tua semakin menjadi'...
Must-Watch Video