Skip to main content

Rencana

Ayuh Malaysia, kurangkan kritikan, kuatkan sokongan!

pandelela.jpg
Ketika ini, saya pasti rakyat Malaysia di segenap lapisan masyarakat sedang memperkatakan tentang kejayaan atlit terjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang berjaya menghadirkan pingat perak negara bagi edisi Olimpik kali ini.

Satu permulaan yang baik buat kontinjen negara.

Dan kejayaan ini juga dizahirkan dengan ucapan tahniah di media sosial kerana mengharumkan negara di pentas tertinggi sukan dunia. Perasaan bangga dan sebak apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan di bumi Brazil walaupun hanya menonton dari kaca televisyen di Malaysia.

Namun, beberapa hari sebelum pasangan ini mencipta kejayaan, ruang-ruang komen di media sosial dipenuhi dengan kata-kata sinikal terhadap barisan atlit negara tentang harapan mereka untuk meraih pingat.

Lihat sahaja komen-komen yang ditujukan kepada atlit memanah negara, Akmal Nor Hasrin, yang gagal membantu pasukan recurve menewaskan Perancis tempoh hari. Tidak cukup dengan itu, kegagalan Jun Hoong apabila melakukan kesilapan ketika bergandingan dengan Nur Dhabitah pada saingan 3m papan anjal seirama serta beberapa lagi atlit negara yang ke Olimpik Rio dilabel 'netizen' sebagai atlit “makan angin”.

Bagi saya, tuduhan itu amat berat memandangkan mereka sudah pun berlatih bersungguh-sungguh untuk menghadapi temasya sebesar Olimpik. Mungkin masyarakat luar kurang peka, kritikan-kritikan sebegini mampu menjatuhkan moral mereka dan berkemungkinan menjejaskan prestasi mereka kelak.

Tahukah anda sesetengah atlit berlatih 6 hari seminggu dengan setiap hari mereka mempunyai 2-3 sesi latihan?

Kajian yang dibuat oleh Ken Manktelow (2006) dalam jurnalnya memperincikan bahawa seseorang atlit yang menggunakan masa untuk menangkis segala kritikan buat dirinya mampu memberi kesan kepada prestasi atlit tersebut.

Kes-kes sebegini memang benar berlaku, terutama atlit-atlit bertaraf dunia seperti pasangan Venus dan Serena Williams yang dikritik kerana warna kulit dan badan mereka yang tidak menggambarkan atlit tenis.

Colin Montgomerie, pemain golf yang dahulunya berkedudukan 10 terbaik, kemudian merosot ke tangga ke-80 sehinggakan dia menghadapi masalah berat badan serta tidak dilupakan Tyson Gay, pelari pecut Amerika Syarikat yang dikutuk hebat kerana terlibat dengan isu doping sehingga pingat perak yang dimenanginya dalam temasya Olimpik London 2012 dilucutkan dan selepas itu, dia menghadapi masalah untuk kembali ke prestasi terbaiknya.

Benar, mereka berhak dikritik tetapi biarlah kritikan yang membina agar atlit dapat menjadikannya sebagai semangat untuk bangkit. Letakkan anda dalam situasi sentiasa dikritik dan dikecam walaupun sudah memberikan yang terbaik, bukankah sampai satu tahap anda akan rasa menyampah dan perkara tersebut sudah mengganggu emosi dan mental untuk mencuba lebih baik?

Ketika ini para atlit negara yang berada di Rio perlukan sokongan rakyat Malaysia. Kalau bukan kita berada di belakang mereka, siapa lagi yang akan berikan sokongan?

Jadilah rakyat Malaysia yang bijak apabila memberi komen di media sosial, terutama ketika para atlit sedang berjuang membawa nama Malaysia di pentas dunia.
 

Advertisement

Must Watch Video