Skip to main content

Rencana

Au! Malaysia tanpa Nicol

sharon-wee-and-nicol-david.jpg
Annie Au dari Hong Kong menggantikan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, sebagai pemain terbaik Asia apabila diletakkan sebagai pilihan pertama kategori wanita Kejohanan Skuasy Individu Asia 2019 yang akan berlangsung dari 1 hingga 5 Mei ini (Siaran secara langsung di Astro Arena aksi separuh akhir, 4 petang pada 4 Mei dan final, 8 malam pada 5 Mei).

Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil akan menyaksikan para pemain terbaik Asia bersaing, namun kali ini tanpa juara sembilan kali, Nicol David. 

Era terbaik Nicol dengan empat kejuaraan di Malaysia termasuk menewaskan penulis dalam final tahun 2004 pasti dirindui peminat, namun jikapun dia beraksi dengan ranking ke-19 dunia, Nicol hanya akan ditempatkan sebagai pilihan keempat di bawah Annie, Joshna Chinappa (India) dan Joey Chan (Hong Kong). 

Sebenarnya, agak sukar untuk membiasakan diri melihat bekas pemain nombor 1 dunia dan juara dunia lapan kali kelahiran Pulau Pinang itu bukan lagi watak utama dalam Kejohanan Asia. 

Apapun, Au pemain yang digeruni dengan skil dan sentuhan istimewa dalam gelanggang nampaknya perlu memikul tanggungjawab besar sebagai pemain wanita skuasy terbaik Asia dan pasti ingin mengulangi kejuaraan yang dicatat pada 2013. 

Pasukan Malaysia sedikit sunyi tanpa Nicol yang kini bersiap sedia untuk beraksi dalam kejohanan terakhir dalam kariernya di Terbuka British bermula 26 Mei sebelum bersara pada Jun 2019. 

Bagaimanapun, Low Wee Wern, yang kembali beraksi cemerlang setelah melalui dua pembedahan lutut ACL, antara harapan negara selain penuntut Universiti Cornell di Amerika Syarikat, S.Sivasangari. 

Kategori lelaki pula dipimpin pemain India, Saurav Ghosal, dan tiga pemain Hong Kong memenuhi kedudukan empat pilihan terbaik kejohanan termasuk juara bertahan, Max Lee. 

Ia seperti bertukar baton, era terbaik skuasy bermula dari Pakistan dan Singapura dan kemudian kepada Malaysia, dan kini realitinya, Malaysia terpaksa akur dengan kekuatan Hong Kong dan India. 

Advertisement

Must Watch Video