Skip to main content

Rencana

Apakah yang ‘super’ mengenai Liga Super?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

301216-logo-liga-m-2004.jpg
KETIKA Liga Super dilancarkan sebermula Januari 2004, dunia masih aman tanpa kebobrokan intelektual dan kebiadapan laman sosial.

Debat, hujah dan idea dibincangkan di kedai kopi, tepi padang, stadium, kilang-kilang suratkhabar, pejabat persatuan atau kelab serta bilik lembaga pengarah tanpa ada kata-kata nista untuk paparan umum.

Kalakian, pandangan peminat disampaikan menerusi surat pembaca dialamatkan kepada pengarang akhbar. Tulisan yang kurang sopan dicampak ke bakul sampah, manakala surat yang ditulis dengan penuh hemah, walaupun bersifat kritis, biasa dipilih untuk tatapan pembaca.

Media arus perdana memainkan tugas dengan mengkritik, melapor, menganalisis dan memberi cadangan demi kebaikan sukan secara amnya dan bola sepak secara khusus.
Dunia sudah berubah. 

Namun, dalam dunia bola sepak tempatan, tidak banyak yang berubah.

Pelakonnya sudah ditambah, ada watak yang glamor dan ada pula pelakon tambahan berperanan picisan.

Namun, dalam analisis akhir, bola sepak Malaysia tidak menunjukkan petanda positif menjelang 2017 dari sudut kelangsungan kelab atau ahli gabungan yang dipayungi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sedangkan ketika berucap melancarkan Liga Super pada Januari 2004, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkongsi misi dan visinya menerusi teks ucapan sepanjang 15 muka surat bersaiz A4. 

Liga Super dibahagikan kepada tiga fasa iaitu 2004-2007, 2008-2011 dan 2012-2015. Menjelang 2015, FAM berangan-angan kononnya Liga Super menampilkan 10 pasukan, dengan semua jurulatih kelab atau pasukan itu memiliki diploma profesional Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), disokong dua penolong jurulatih, jurulatih kecergasan, jurulatih penjaga gol, doktor, ahli fisioterapi dan juruurut.

Syahadan menjadi angan-angan FAM waktu itu ialah 10 pasukan berkenaan memiliki pusat pembangunan atau akademi sendiri.

Selepas 13 tahun berlalu, kebanyakan visi Tengku Abdullah kekal angan-angan. 

Atas desakan pemegang kepentingan, FAM terpaksa mengubah haluan dan meminda format liga beberapa kali. 

Disebabkan masyarakat kita umumnya gemar berkompromi terhadap semua aspek kehidupan, keluarga bola sepak tempatan pun berkompromi terhadap syarat-syarat yang diletakkan.

Wujudnya Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) pula tidak membawa makna jika ia kekal di bawah telunjuk FAM, apatah lagi lembaga pengarahnya semua pemegang jawatan badan induk.

Selagi ada banyak kompromi di balik tabir atau terang-terangan oleh individu berpengaruh yang menjaga kepentingan atas dasar mahu menggembirakan hati semua pihak, bola sepak Malaysia bukan berdepan evolusi.

Kesudahannya, tiada apa yang ‘super’ mengenai Liga Super.

Pasukan yang bercita-cita besar dan memiliki infrastruktur serta semua syarat-syarat ke arah profesional sepenuhnya nanti boleh dibilang dengan jari.

Arakian, tiga fasa yang berlaku untuk mana-mana pasukan dalam Liga M yang tidak ada model perniagaan dan pemasaran yang ampuh: 
Fasa 1 – penyertaan, mengupah pemain bertaraf bintang, mesra media;
Fasa 2 -  diulit kejayaan berpanjangan tetapi tidak mampan; dan
Fasa 3 - mengemis dan menagih simpati.

Advertisement

Must Watch Video