Skip to main content

Rencana

Apakah ilmu yang diguna Klopp?

klopp.jpg
“Klopp adalah Bill Shankly yang dilahirkan semula dalam tubuh seorang berbangsa Jerman,” kata bekas penjaga gol Liverpool, Bruce Grobbelaar, mengenai Jurgen Klopp selepas pengurus berusia 53 tahun itu dijulang berikutan kejayaan The Reds ditabalkan juara Liga Perdana Inggeris musim 2019/20.

Ia mengakhiri kemarau panjang gelaran juara liga buat Liverpool sejak 1990 ketika Grobbelaar adalah sebahagian daripada pasukan ketika itu.

Menepati taraf legendanya kini, ia juga adalah trofi keempat buat Klopp sejak ketibaannya di Anfield pada 2015 selepas kejayaan terdahulu memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Sebagai perbandingan, Shankly pula mengemudi Liverpool keluar daripada divisyen dua pada 1961-62 untuk kesudahannya memahatkan namanya dengan tiga kejuaraan liga, dua Piala FA dan Piala UEFA sepanjang 15 tahun di kerusi panas pengurus.

Dalam merumuskan persamaan di antara kedua-duanya pula, Grobbelaar percaya Klopp memiliki kefahaman amat jelas terhadap kelompok besar penyokong mereka yang secara tidak langsung menjadikan kejayaan Khamis lalu terasa amat istimewa.

“Dia dapat meresapi khalayak, dia dapat menyelami hati penyokong. Klopp adalah Shankly yang dilahirkan semula dalam tubuh seorang Jerman. Begitulah bagusnya dia,” katanya kepada Stats Perform News.

“Dia boleh ke tengah bandar dan menikmati usik-mengusik dengan peminat. Dia seorang pengurus Liverpool yang sangat lazim.

“Benar, semua pengurus yang pernah Liverpool miliki juga ada kelaziman yang sama tapi Shankly, Klopp… kedua-duanya teristimewa. Kerana itu saya katakan Klopp adalah jelmaan Shankly dalam tubuh seorang Jerman,” ujarnya.

Grobbelaar menyanjungi kemampuan Klopp mengerah lebih lagi daripada setiap pemainnya setiap musim bagi memastikan mereka bangkit daripada setiap kekecewaan.

“Dia tiba dengan mengatakan dia akan memenangi trofi dalam tempoh empat tahun. Kini kami telah memiliki empat trofi dalam tempoh itu.

“Dia membuat pemain-pemain menjadi lebih baik. Jika disorot kerjaya awalnya di Mainz dan Borussia Dortmund, pemain-pemain peninggalannya telah menjadi lebih berjaya dan dia telah menjadikan mereka lebih baik.

“Di manapun dia berada, pemain-pemain dapat mengangkat tahap mereka. Tiada bezanya dengan di Liverpool, dia membuat pemain-pemain meningkatkan tahap mereka untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

“Kami menang Liga Juara-Juara selepas kalah dalam final, jadi kami bertambah baik. Kami memenangi liga selepas tampil naib juara dan hanya tewas sekali musim lalu, jadi kami turut meningkat.

“Klopp menuntut daripada pemain-pemainnya untuk menjadi bertambah baik setiap musim.

“Itulah yang diterapkannya ke dalam pasukan dan ia jelas satu fenomena,” katanya lagi.

Mungkinkah fenomena bernama Klopp ini akan berlanjutan – seperti Shankly?

Advertisement

Must Watch Video