Tak kiralah permainan baik ke, permainan buruk atau permainan cantik ke, yang pasti pada petang ini pasukan Harimau Malaysia kena menang.
Dengan apa cara sekalipun dari segi corak permainan, formasi , pelan taktikal atau pemain yang akan diturunkan oleh Datuk Ong Kim Swee, mereka tak boleh kalah.
Ini kerana persiapan terakhir ini penting untuk membangkitkan semangat kepada pasukan sebelum terbang ke Myanmar nanti.
Bukan menidakkan pasukan Papua New Guinea, sebaliknya pasukan ini memiliki fizikal yang baik dan kita kalah dengan mereka 2-0 dalam Jelajah Oceania pada Jun lalu.
Jadi, saya jangka perlawanan ini pasti sukar untuk kita dan mereka tidak akan memberikan laluan mudah buat pasukan kita petang nanti.
Semasa di Papua New Guinea, kita ditewaskan oleh seorang pemain saja, Tommy Semmy, yang menjaringkan dua gol. Pemain berusia 23 tahun ini merupakan penyerang terbaik mereka.
Cuma sedikit kelebihan bermain di tempat sendiri, masa perlawanan juga kita ubah untuk merasai suasana cuaca yang seakan-akan sama juga di bumi Myanmar nanti.
Pertukaran pemain gantian yang ramai membolehkan Kim Swee membuat penilaian pemilihan pemain yang perlu diturun kan dalam kesebelasan utama nanti.
Kita sedia maklum jadual perlawanan dalam kumpulan itu nanti juga kita tidak boleh pandang mudah. Mungkin faktor jadual perlawanan nanti ada sedikit membantu sekiranya perlawanan pertama nanti bermain dengan Combodia kita perlu menang .
Selang dua hari kemudian, kita bermain menentang Vietnam sebelum perlawanan dengan pasukan kuat, tuan rumah Myanmar nanti.
Bukan laluan mudah tetapi sekurang-kurangnya kita perlu perancangan dari segi mengatur pemain, formasi dan perancangan dengan pasukan yang akan kita lawan nanti.
Faktor kecederaan pemain yang bermain selang dua hari juga mungkin tidak dapat dielakkan tetapi perancangan Ong Kim Swee perlu ada sekiranya pemain utama mengalami kecederaan.
Selain itu, perkara yang mungkin menjadi masalah besar ialah sekiranya pemain dilayangkan kad kuning atau kad merah yang sering terjadi ketika pertandingan sebegini yang melibatkan perlawanan penting seperti Vietnam dan pasukan tuan rumah nanti harus dielakkan.
Sering kali kita menjadi mangsa sasaran pengadil dari Asia kerana mereka akan cuba untuk menghalang laluan kita seterusnya.
Penting untuk pemain fokus kepada perlawanan dengan pasukan, bukan dengan pengadil nanti.
Harapan yang besar untuk menang sekali lagi Piala Suzuki AFF 2016 ini bukan saja terletak di bahu Kim Swee tapi keseluruhan pengurusan pasukan yang ada di dalam pasukan Harimau Malaysia ini.
Bukan setakat jawatan pengurusan hanya bertanggungjawab dalam urusan pasukan tetapi mereka juga harus bertanggungjawab sekali sekiranya pasukan Harimau Malaysia ini kalah atau menang nanti...