Skip to main content

Rencana

Apa lagi diva Syakilla mahu?

diva1.jpg
Jika anda orang baru di Malaysia, anda harus akan terfikir atlet karate, Syakilla Salni Jefry Krisnan, adalah seorang juara dunia terbilang manakala Syarul Azman Mahen Abdullah adalah seorang atlet bina badan picisan yang belum mencapai apa-apa.

Betapa ketidakadilan dasar sukan negara atau pendukung utamanya yang membezakan kedua-duanya dengan dua ‘darjat’ berbeza sedangkan posisi masing-masing jelas sekali berlawanan.

Sambil Syarul Azman -- atau Mike dalam kalangan rakan-rakan – sudah bergelar juara dunia tiga kali berturut-turut dan Mr. Asia sebanyak empat kali, Syakilla pula sekadar bersandarkan pingat emas Sukan Asia Incheon 2014 dan Sukan SEA 2017 di samping pernah menduduki ranking no. 1 dunia dalam kategori 55kg pada Oktober 2016 tapi merudum kepada ke-83 dunia kini.

Namun, ketika Mike umpama ‘kais pagi makan pagi’ selama bertahun-tahun, termasuk menumpang di rumah kawan dan tidak tersenarai dalam Program Podium, dalam perit-jerihnya untuk mengharumkan nama negara, Syakilla pula ditatang ‘bagai anak emas’ dalam pada Malaysia mengharapkan pingat emas pertama Sukan Olimpik daripadanya yang tiada pun jaminan akan terlaksana.



Jelas sekali perihal karate akan dipertandingkan buat kali pertama dalam Sukan Olimpik Tokyo tahun depan, telah mengaburi mata segelintir sambil Syakilla dilihat sebagai antara prospek menyumbang emas pertama Malaysia – 56 tahun selepas penyertaan sulung kontinjen negara yang kebetulan dalam temasya Tokyo 1964.

Tidak mungkin ini yang dihasratkan daripada Program Podium 2.0 di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) yang mengutamakan kebajikan atlet seiring dengan pencapaian kerana jelas sekali wujud keistimewaan berbeza-beza di antara satu atlet dengan yang lain.

Kelak, jika tidak ditangani dengan seadil-adilnya, dikhuatiri ketidakadilan seumpama ini akan menggalakkan suburnya ‘inkubator’ buat menetaskan “atlet besar kepala” yang menyanggahi norma-norma biasa hingga agensi pelaksana seperti MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) harus tunduk kepada pelbagai tuntutan dan ugutan.

Malanglah sukan negara jika keadaan itu dibenarkan… dan jika sudahpun ada, dibiarkan berlarutan pula.



Tiada siapa boleh menafikan Syakilla seorang atlet berbakat besar – dia atlet karate pertama negara yang muncul naib juara dalam Kejohanan Dunia di Bremen, Jerman apabila tewas dalam final kategori 61kg kepada lawan dari Mesir, Giana Lofty, pada 8 November 2014.

Harus atas kepercayaan terhadap potensi besarnya juga, segala kerenahnya dilayani dalam membantunya merealisasikan impian yang kesudahannya akan memberi kebanggaan kepada Malaysia jua.

Tapi, jika atlet itu sendiri tidak pun berupaya mengawal berat badannya di samping menghormati tatasusila dan peraturan – perkara paling asas dalam disiplin sukan yang diceburinya – wajarkah diyakini dia mampu menyumbang kejayaan yang dicitakan?

Matlamat tidak harus menghalalkan cara… bukankah? Atau barangkali ini tidak terpakai buat Syakilla Salni, yang gelagatnya akhir-akhir ini melayakkannya gelaran “diva nombor satu sukan negara”.

Disaran menukar kategori kepada 61kg atau 61kg ke atas, dia tidak mahu. Disuruh berlatih di bawah pengawasan ketua jurulatih skuad karate negara yang baru, Ali Reza Souleymani, dia enggan. Disediakan program khas menurunkan berat badan di bawah seliaan ISN, dia culas. Diberikan sedikit tekanan untuk mendisiplinkan dirinya, dia berlari kepada menteri.

Di manakah maruah seorang atlet apabila ISN yang ditugas menyelia program khas dua bulan penurunan berat badannya daripada 67.95kg hingga kembali kepada 55kg, menyerah kalah kepada kedegilan dan sikap acuh tak acuhnya sendiri?

Andai Syakilla terlupa atau terlepas pandang, ini kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, Rabu lalu: “Jika dia mengikut program yang telah ditetapkan, dia mampu menurunkan berat badan. Sikap sambil lewa ini harus diketepikan jika mahu terus mewakili negara.

“Peluang untuk Syakilla beraksi dalam kategori 55kg adalah mustahil. Dia masih mampu layak ke Sukan Olimpik dengan menyertai kategori berbeza," katanya yang menambah Syakilla kerap tidak hadir menyertai program khas itu.

Tidak sekadar itu, dihantar berlatih di Amsterdam, Februari lalu, dia terpaksa dipanggil pulang lebih awal oleh Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) gara-gara kegagalannya menepati janji untuk beraksi dalam dua kejohanan utama yang menawarkan mata ranking kelayakan Olimpik.

Sebagai rekod, masalah berat badan Syakilla bukan pun perkara baru, malah sudahpun menjadi perbincangan hangat pada Julai tahun lalu lagi menjelang Sukan Asia Indonesia sebulan kemudian.



Di Jakarta, Syakilla yang turun dengan penghormatan selaku pembawa bendera kontinjen negara di samping juara bertahan kategori 61kg, tewas seawal pusingan pertama dalam kategori 55kg untuk pulang tangan kosong.

Dan berselang 10 bulan selepas esak tangisnya di Jakarta itu, masalah berat badannya kekal menjadi isu ketika masih ada yang kasihankan dia.

Terbaru, Syakilla meletakkan pula syarat untuk dibenarkan dan dibiayai latihannya di bawah bekas jurulatih kebangsaan, Andris Vasiljevs, di Latvia.

Bekas juara dunia itu kekal dengan jaminan berat badan bawah 55 kilogram mampu dicapai jika dia berada di bawah kendalian Vasiljev sahaja walaupun dia terpaksa menurunkan 11kg dalam masa yang singkat.

Lupakah ramai inilah jurulatih yang sama yang ditamatkan perkhidmatannya pada Oktober tahun lalu gara-gara kegagalan skuad negara meraih pingat emas dalam Kejohanan Karate Asia di Jordan (Julai) dan Sukan Asia Indonesia (Ogos)?

Syakilla, 27, hanya perlu memandang kepada Syarul Azman, 45, -- atlet yang lebih dulu makan garam daripadanya – untuk menginsafi diri terhadap perlunya kerja keras dan pengorbanan tanpa banyak bantuan, dalam memburu impian bergelar juara dunia.

Daripada satu segi, Syakilla jauh lebih bertuah kerana acaranya diiktiraf dalam Sukan Olimpik dan seiring dengan itu juga, ditatang bagai anak emas tapi sikapnya sendiri menyerlahkan dia seorang yang kurang menghargai.

Insaflah diva sukan negara andai tidak mahu diinsafkan.

Advertisement

Must Watch Video