Skip to main content

Rencana

Apa dah jadi merah?

kelantan.jpg
Sesekali terlayar kemuncak kejayaan dan kemasyhuran dua pasukan yang cukup sinonim menerusi warna merah.

Gahnya dua pasukan yang bercirikan warna merah ini merangkumi segalanya, baik pencapaian dalam saingan Liga Malaysia mahupun daripada segi pengurusan mereka.

Tapi apa dah jadi dengan Pahlawan Merah dan Gergasi Merah ketika ini ?

Lautan merah di stadium, paluan gendang dan kegilaan penyokong yang sanggup menghabiskan wang ringgit demi kedua pasukan ini hanya jadi kenangan yang akan diceritakan kepada generasi seterusnya selepas ini.

Dianggap selaku pasukan pilihan sejak 7 tahun lalu, Kelantan atau lebih dikenali dengan gelaran Red Warriors nampaknya masih bingung memikirkan bagaimana untuk menyediakan jumlah bon sekurang-kurangnya 3 Juta Ringgit dalam akaun Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Umum mengetahui masalah kewangan KAFA begitu meruncing, dan hingga ke saat ini masih mencari dana yang juga dianggap syarat untuk pendaftaran pasukan bagi saingan musim hadapan.

Itu tidak termasuk urusan gaji tertunggak melibatkan pemain dan jurulatih selain hutang lapuk yang hampir mencecah belasan juta ringgit Malaysia.

Perletakan jawatan Tan Sri Annuar Musa juga memberikan tamparan hebat kepada KAFA yang seolah-olah kehilangan nakhodanya ketika ini.

'Saya tetap dengan pendirian melepaskan jawatan ini.' Itu tegas Annuar Musa walaupun dipujuk beberapa kali oleh exco KAFA untuk kembali pertimbang keputusannya.

Gelombang dari Selangor juga tidak kurang hebat masalah mereka.

Dari awal lagi perpecahan dalaman membabitkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sudah dihidu media namun lantang dinafikan oleh pihak FAS.

Menjelang akhir musim segalanya gagal dibendung lagi. Tiada kesepakatan di antara mereka mengeruhkan lagi keadaan apabila perbezaan politik jadi antara punca utama FAS pincang.

Pengumuman tiada peruntukan dana untuk pasukan Selangor bagi 2017 menambahkan lagi keruh sedia ada.

Gerakan bawah tanah sebahagian daripada exco FAS ibarat api dalam sekam sehingga cetus kegusaran membabitkan pemain Selangor sendiri.

Masalah Selangor turut terpalit kepada ahli gabungannya iaitu PKNS selepas kerajaan negeri Selangor hanya memfokuskan dana buat skuad kendalian E. Elavarasan sahaja musim hadapan.

Hal itu cetus rasa marah Selangor yang mula atur strategi dan perancangan untuk sekat laluan PKNS pula dari beraksi di Liga Malaysia musim hadapan.

Malah sehingga kini nama PKNS yang juga dikenali sebagai Semut Merah dan Kelantan masih belum didaftarkan untuk saingan 2017.

Segalanya tampak kelam kabut, dan hasrat untuk melihat persaingan sengit melibatkan kedua pasukan merah ini mungkin hanya tinggal sejarah.

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found