Skip to main content

Rencana

Antara Limburg & Kuala Lumpur

paul-lissek.jpg
Banyak perkara menarik berlaku di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil tempohari ketika perlawanan antara Terengganu Hockey Team (THT) dan UiTM. 

Yang pertama, saya mahu saksikan sendiri kehebatan fliker terbaik dunia beraksi, Gonzalo Peillat, di samping tugas hakiki saya sebagai wartawan untuk membuat liputan. Dan saya tidak kecewa, meskipun Peillat hanya meledak dua gol pada minit ke-45 dan 60 daripada pukulan sudut penalti, tetapi ia adalah gol bertaraf dunia. Saya juga harus memuji Faizal Saari dengan ketajamannya di hadapan gawang, lima daripada sembilan gol yang dihasilkan adalah sumbangan anak jati Terengganu ini. 

Yang kedua, di sebalik kerancakan saingan Piala Tan Sri P. Alagendra, saya ternampak kelibat kehadiran jurulatih berpengalaman dari Limburg, Jerman, Paul Lissek. Buat warga hoki tempatan, nama tersebut bukanlah asing, banyak sejarah beliau dan perkembangan hoki Malaysia. Kali terakhir saya bertemunya adalah pada tahun lepas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. 

Lissek menjadi perunding kejurulatihan buat skuad hoki dalam dewan negara, membantu ketua jurulatih ketika itu, Amin Abd Rahim untuk memenangi emas buat Malaysia.

“Saya suka kembali ke sini dan ia ibarat rumah kedua saya, tugas saya masih sama, perunding kejurulatihan, cuma kali ini bersama bekas anak didik saya, Sarjit Singh di THT,” ujar Lissek sambil tersenyum.

Kata-kata Lissek mengingatkan saya tentang seorang lagi warga Jerman yang mempunyai perasaan yang sama terhadap Malaysia, iaitu mendiang Karl Heinz Weigang. Mendiang adalah antara individu yang memacu skuad bola sepak negara layak ke Olimpik Moscow 1980. Selain itu beberapa kali keluar masuk mengendalikan kelab dalam saingan liga tempatan antaranya pasukan Johor dan Perak. 

Berbalik kepada Lissek, tugasnya bersama THT adalah sebagai perunding kejurulatihan dan ini bukanlah kali pertama dia membantu THT, 2014 menyaksikan bekas jurulatih kebangsaan itu dilantik menjadi perunding kejurulatihan, dan hasilnya, THT muncul juara berganda pada tahun tersebut membolot Piala TNB dan Liga TNB MHL 2014.

Kisah Lissek hanyalah salah satu cebisan cerita dalam sukan tempatan, yang sayangkan hoki dan mahu habiskan sisa-sisa hidupnya dengan sukan ini. Mungkin luarannya dia warganegara Jerman, tapi hatinya sebenar berjiwa Malaysia.

Advertisement

Must Watch Video