Jendela perpindahan musim sejuk boleh dijadikan medan untuk pemain menyelamatkan karier mereka dalam Piala Dunia 2018.
Tinggal 164 hari lagi menjelang sepak mula, setiap pemain yang bercita-cita tinggi sudah pasti memasang impian untuk beraksi dalam kejohanan paling berprestij itu nanti dan kali ini, destinasnya adalah Russia.
Setiap 32 pasukan yang bertanding perlu menghantar senarai awal 30 pemain kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada pertengahan Mei nanti sebelum memuktamadkan barisan pilihan 23 pemain -- tiga penjaga gol wajib didaftarkan -- pada minggu pertama Jun nanti.
Sudah pasti, kegemilangan yang dicari menuntut pengorbanan besar sepanjang musim ini dengan minit permainan menjadi syarat utama penyenaraian mereka.
Berikut adalah senarai pemain-pemain yang berdepan kemungkinan hilang tempat dalam pusingan akhir di Russia itu nanti.
1.
Kehadiran Virgil van Dijk di Liverpool mungkin membuka pintu kepada Daniel Sturridge untuk mencari hala tuju baru dalam kariernya. Selain tidak rela tempatnya dalam skuad England dirampas kelibat seorang penyerang veteran, Jermain Defoe, kehadiran penyerang muda dalam barisan skuad England mungkin membuatkan peluangnya semakin mengecil.
2.
Posisi ketua pasukan Jerman dalam Piala Konfederasi, Julian Draxler, bakal terjejas andai dia terus buntu untuk mengukuhkan peranannya di Paris Saint-Germain (PSG). Kylian Mbappe dan Neymar kini merupakan sandaran baru untuk bergandingan dengan Edinson Cavani. Arsenal dilaporkan sedia membuat penawaran kerana hampir pasti kehilangan Alexis Sanchez dan Mesut Ozil yang akan kehabisan tempoh kontrak, musim panas ini.
3.
Masa depan Paulo Dybala di Juventus terus tidak menentu apabila semakin kerap dipinggirkan oleh Massimiliano Allegri gara-gara memberi aksi di bawah tahap sebenar kebelakangan ini. Legenda kelab, Pavel Nedved, sempat berpesan kepadanya agar mengorbankan sebahagian kehidupan di luar padang untuk membantunya lebih fokus.
4
Ahmed Musa berpeluang menentukan nasibnya bulan depan selepas gagal memenangi tempat di Leicester City. Ditambah pula kelab itu masih terkial-kial mengenai peranannya sama ada di tengah atau sayap, ia memburukkan lagi peluangnya apabila hanya tampil sekali musim ini dalam aksi Piala Liga Inggeris (EFL) dan bekas pemain CSKA Moscow itu sudah diberi amaran mengenai tempatnya dalam skuad Nigeria susulan kekurangan beraksi.
5.
West Ham berminat memantapkan jentera serangan mereka dengan kehadiran Andre Schurrle. Pengalaman beraksi dalam kancah Liga Inggeris ketika bersama Chelsea meningkatkan lagi khabar bahawa dia sedia beralih angin. Borussia Dortmund sedang mencari rentak bersama pengurus baru, Peter Stoger, dan ia mungkin akan mempengaruhi keputusan Schurrle yang kurang berminat beraksi di bahagian sayap.
6.
Nama Javier Pastore semakin tenggelam sejak tiba di PSG. Pemain tengah itu menafikan dia sudah merancang perpindahannya kerana tidak gembira sering diketepikan. Pastore gagal mendapat panggilan antarabangsa sejak 2015, namun kembali disenaraikan oleh Argentina dalam Copa America yang lalu sebelum digugurkan akibat kecederaan. Situasi itu mencetuskan minatnya untuk berusaha merebut tempat dalam pusingan akhir di Russia nanti.
7.
Pada usia 38 tahun, kecekapan Tim Cahill dalam kotak penalti lawan amat ditagih Australia. Namun, penjaring terbanyak negara itu dengan 50 gol, sedar kehadirannya dalam pusingan akhir nanti hanya akan menjadi realiti andai dia kekal cergas dan tajam. Bekas penggempur Everton dan New York Red Bulls itu sah meninggalkan Melbourne City bulan ini untuk mencari cabaran baru.
8.
Pelantikan Vincenzo Montella sebagai pengurus baru Sevilla mungkin akan menyelamatkan karier Steven N'Zonzi. Pemain tengah itu dikaitkan bertelagah dengan bekas pengurus, Eduardo Berizzo, bulan lalu sehingga diletakkan di bangku simpanan. Beberapa kelab di England khususnya berminat untuk memancingnya, namun N'Zonzi perlu memilih kelab bereputasi besar sekiranya dia berhajat untuk terus dipanggil dalam skuad Perancis setelah membuat penampilan pertama, bulan lalu.
9.
Javier Mascherano semakin menuju ke fasa pengakhirannya bersama gergasi Catalan, Barcelona. Selepas hampir lapan tahun di Nou Camp, Mascherano menganggap dia perlu memilih jalan keluar jika tidak mahu keciciran dalam skuad Piala Dunia Argentina nanti. Disebabkan kelincahan sebagai pemain tengah semakin terbatas, Mascherano kerap memainkan peranan sebagai pertahanan tengah tetapi dia bukanlah pilihan utama di bahagian itu di Barca.
10.
Nasib David Luiz sama sekali berbeza dengan tahun lalu. Musim lalu, dia menjadi tunjang utama Chelsea meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) biarpun dihantui kecederaan lutut sepanjang proses itu. Namun, kebangkitan pemain muda Denmark, Andreas Christensen, menjejaskan peluangnya untuk memenangi hati Antonio Conte pada musim ini.
Calon-calon lain:
Penjaga gol PSG, Kevin Trapp (Jerman)
Pertahanan Juventus, Benedikt Howedes (Jerman)
Pemain tengah PSG: Angel Di Maria
Pemain tengah Arsenal: Jack Wilshere
Penyerang Arsenal: Olivier Giroud
Shaiful Shamsudin
Fri Dec 29 2017