Skip to main content

Rencana

Anak Sarawak Bonnie merenung emas Tokyo 2020

bonnie.jpg
Bonnie Bunyau Gustin muncul juara dunia powerlifting 65kg lelaki menjadi sebutan dan pilihan peminat untuk rangkul pingat emas temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo. 

Justifikasi cukup jelas buat atlet para 19 tahun, Bonnie, yang juga pemegang rekod dunia remaja dan juara dunia remaja menjadi calon pilihan untuk menghadiahkan pingat emas Sukan Paralimpik keempat Malaysia. 

Berdekad lamanya harapan negara ke atas atlet normal belum tercapai termasuk legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, yang tiga kali terlepas pingat emas Olimpik kepada pencabar dari China, Lin Dan dan Chen Long, juga sandaran kepada ‘The Pocket Rocketman’, Azizulhasni Awang, dalam acara berbasikal trek. 

Dalam penantian ibarat ‘tunggu-tunggu buah tak jatuh’, bangkitnya tiga atlet para di Sukan Paralimpik 2016, Brazil yang mengejutkan Malaysia dan dunia, dengan pingat emas Sukan Paralimpik pertama Malaysia disumbang Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 pada 10 September 2016. 

Sejam selepas kemenangan Mohamad Ridzuan, dunia tergamam dengan kehebatan Muhammad Ziyad Zolkefli melalui acara lontar peluru F20 lelaki. 

Malaysia terus meraikan emas ketiga pada hari berikutnya daripada Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 lelaki. 

Kini, tanggungjawab utama membawa pulang pingat emas dari Sukan Olimpik 2020 di bahu Azizulhasni yang baru rangkul pingat perak dalam acara pecut di Kejohanan Trek Berbasikal Antarabangsa Dublin 2019 setelah persaraan Chong Wei. 

Selain itu penerjun senior, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee yang catat keputusan terbaik dengan pingat perak acara 10m platform seirama wanita di Kejohanan Terjun Dunia FINA di Korea Selatan baru-baru ini juga berpotensi capai pingat emas di Tokyo. 

Tetapi jangan terkejut, dalam senyap atlet para dengan semangat tinggi dan penuh kepercayaan untuk meneruskan kejayaan rakan sepasukan di edisi lalu, emas di Tokyo 2020 besar kemungkinan datang dari atlet paralimpik. 

Hampir pasti Bonnie sudah boleh bayangkan pengumuman di majlis penyampaian hadiah, “Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2020 dalam acara powerlifting 65kg lelaki, Bonnie Bunyau Gustin dari Malaysia!!!!”.
 

Advertisement

Must Watch Video