Skip to main content

Rencana

Alli ada atau tidak, United tetap menang?

alli.jpg
Pemain tengah Tottenham Hotspur, Dele Alli nampaknya mendapat ‘cuti tambahan’ – semuanya gara-gara video gurauan tentang COVID-19 yang dimuatnaik di akaun Snapchat pada Februari lalu.

Persatuan Bola Sepak Inggeris FA telah menyabitkan kesalahan ke atas Alli kerana melanggar peraturan E3 yang mengakibatkan pemain berusia 24 tahun ini digantung satu perlawanan, didenda £50,000 dan perlu menjalani sesi kaunseling.

Hukuman yang mungkin nampak ringan, tetapi ia sebenarnya memberi kesan mendalam kepada Alli yang sudah berkira-kira mahu turun membantu The Lilywhites pada 20 Jun ini untuk menentang Manchester United bagi aksi pertama mereka selepas Liga Perdana Inggeris disambung semula.

Skuad kendalian Jose Mourinho tidak berada di tempat yang menyenangkan ketika saingan liga terpaksa dihentikan kerana serangan COVID-19 kira-kira 3 bulan lalu.

Spurs mengisi tangga kelapan dengan 41 mata, 7 mata untuk menyamai Chelsea yang melengkapkan kelompok 4 terbaik liga – petanda jelas banyak kelompongan yang perlu diperbaiki Mourinho andai masih mengimpikan keberadaan di Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Ia agak berbeza dengan situasi seteru selepas ini, United yang mengisi tangga kelima, tambahan pula slot automatik milik Manchester City seakan terbuka untuk dipindahkan kepada pasukan setempat ini pada bila-bila masa sahaja kerana masih belum ada kepastian dari rayuan kes salah laku pengurusan The Citizens.

Berbalik kepada aksi yang akan berlangsung tanpa penonton di Stadium Tottenham Hotspur nanti, ketiadaan Alli sebenarnya tidak begitu memeningkan Mourinho kalau mahu dibandingkan dengan masalah kecederaan yang membelenggu beberapa pemain utama – termasuk bintang, Harry Kane yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi pasukan.

Walaupun perkhabaran terbaharu mengesahkan pemain yang berasal dari Perancis, Moussa Sissoko dan pemain pertahanan Wales, Ben Davies sudah bersedia untuk diturunkan, perasaan penulis masih berat mengatakan 3 mata penuh akan dibawa pulang oleh anak buah Ole Gunnar Solskjaer.

Bukan mahu menjadi pengampu, penulis cuma merasakan momentum dari 11 perlawanan tanpa kalah sebelum ini masih bersisa buat The Red Devils walaupun mereka saling terpisah dek serangan pandemik.

Solskjaer pula ketika ini hanya mempunyai satu masalah – memilih gandingan terbaik daripada yang terbaik untuk menerajui bahagian hadapan, tengah dan kubu pertahanan, apabila kesemua pemainnya dilaporkan berada dalam keadaan cergas – bukankah itu masalah terbaik yang mahu difikirkan oleh mana-mana jurulatih sebelum memulakan perlawanan?

Advertisement

Must Watch Video