Skip to main content

Advertisement

Rencana

Aksi luar biasa barisan muda negara

malaysia-b-19.jpg
Kejayaan skuad B-19 negara meraih kejuaraan Piala AFF B-19 di Surabaya minggu lalu jelas satu kejayaan yang boleh dianggap luar jangkaan.

Tidak dinafikan, barisan kendalian Bojan Hodak itu turut dibantu faktor nasib undian apabila diletakkan sekumpulan bersama Kemboja, Brunei Darussalam, Timor Leste dan Myanmar.

Namun, kecekapan Hodak dan tenaga kejurulatihan pasukan mengendalikan pemain serta mencanang percaturan taktikal berkesan adalah faktor utama membolehkan kejuaraan dicapai selain kesungguhan dan keazaman kuat pemain.

Meskipun seorang jurulatih import, Hodak sudah lebih sedekad menetap dan terbabit dengan kancah bola sepak di Malaysia yang membolehkannya cukup sinonim dengan keupayaan pemain-pemain tempatan.

Hodak hanya mendapat keseluruhan pemain untuk dibawa ke saingan AFF, tiga hari sebelum bertolak ke Surabaya gara-gara komitmen beberapa pemain tonggaknya dengan pasukan masing-masing dalam saingan Liga Super dan Perdana.

Apa pun, Hodak tidak menjadikannya satu alasan dan tetap mampu membentuk barisan ampuh serta berupaya melepasi halangan Indonesia di separuh akhir sebelum menundukkan Myanmar 4-3 di pentas final.

Barisan pemain seperti Nik Akif Syahiran Nik Mat, Syaiful Alias, Shivan Pillay Asokan dan Hadi Fayyadh Abdul Razak turut menjelmakan kematangan sepanjang kejohanan di Surabaya.

Namun, seperti yang ditekankan Hodak, barisan pemain perlu bersedia menghadapi saingan lebih mencabar selepas ini iaitu saingan Piala AFC B-19 yang juga akan berlangsung di Indonesia Oktober depan.

Jika berjaya mara ke separuh akhir, barisan muda negara akan melakar satu lagi sejarah menjadi pasukan remaja pertama mara ke pusingan akhir Piala Dunia B-20 FIFA pada 2019.

Secara realistik, ia adalah harapan terlalu tinggi buat skuad kendalian Hodak kecapi memandangkan mereka perlu berdepan cabaran Arab Saudi, Tajikistan dan China terlebih dulu dalam saingan AFC B-19.

Sasaran melepasi saingan peringkat kumpulan terlebih dulu mungkin sasaran yang lebih realistik ketika ini walaupun dalam saingan peringkat bawah umur, sekali-sekala kejutan besar berlaku.

Apa pun, syabas sekali lagi buat Hodak serta barisan muda negara dan sudah pasti penulis mendoakan yang terbaik di saingan AFC nanti.
 

Advertisement

Must Watch Video