Skip to main content

Rencana

Air mata Loganesh

pelari-400m-negara,-t-loganesh.jpg
Saya tidak kenal T. Loganesh sebelum rakan setugas, Muiz Aziz menunjukkan rakaman temubual bersama pelari 400 meter negara itu.

"Saya sudah buat semua persiapan sebelum datang ke ASG (Sukan Sekolah-Sekolah Asean) dan saya yakin akan bawa pulang pingat emas. Saya mesti dapat," katanya.

Baru berusia 16 tahun tetapi keyakinannya tinggi, mengalahkan beberapa atlit senior kebangsaan.

Saya lihat dirinya seorang atlit yang positif dan memiliki sikap yang baik untuk mengikut jejak langkah bekas jaguh utama 400 meter kebangsaan, Zaiful Zainal Abidin.

Sebelum final 400 meter,  juga dia kekal tenang dan fokus ketika sesi memanaskan badan.

Lapan pelari bermula baik pada final sebelum Loganesh mengorak langkah pada 150 meter pertama, untuk dia mendahului lawan hingga jarak 10 meter.

Garisan penamat cuma tinggal 5 meter sahaja lagi sebelum pelari tuan rumah muncul pada saat akhir.

Saya lihat Loganesh cuba mengerah kudratnya tetapi lonjakan saat akhir menyaksikan emas milik pelari tuan rumah dengan catatan 48.78 saat. Loganesh terpaksa akur dengan pingat perak.

Dia kemudian memencilkan diri dan menitiskan air mata.

"Saya mahukan emas itu. Saya mahu hadiahkan kepada keluarga saya yang sudah banyak berkorban," katanya tersesak-esak.

"Bapa menghantar saya berlatih setiap hari menaiki motosikal, ibu akan merawat kecederaan saya kerana dia bekerja sebagai jururawat. Malah, abang saya sanggup melepaskan impian menjadi pemain bola sepak untuk beri laluan ibu bapa fokus kepada saya.

"Tidak mengapa, saya akan datang lagi tahun depan," katanya.

Rakan sepasukan kemudian cuba menenangkan Loganesh. Perak pun satu kejayaan untuk negara.

Moga Loganesh belajar daripada apa yang berlaku di Semarang, Indonesia. Bawa balik pengalaman itu, berlatih lebih gigih dan datang semula sebagai pencabar utama saingan 400 meter lelaki ASG di Filipina, tahun depan.

Advertisement

Must Watch Video