RENCANA
Aidil, Hadin curi tumpuan
Menjelang aksi kelima saingan Liga Super minggu ini, penulis tertarik dengan kelibat pengendali Kedah, Aidil Shahrin Sahak, dan pemain sayap Felda United, Hadin Azman.
Ini adalah musim pertama Aidil dalam kancah Liga Super, namun penulis berani katakan pengendali kelahiran Singapura ini berjaya membentuk barisan Lang Merah yang seimbang meskipun kehilangan ramai pemain tonggak musim lalu.
Sebelum ini, peminat bola sepak tempatan mungkin lebih mengenali abang Aidil, iaitu Aide Iskandar Sahak yang merupakan bekas kapten dan tonggak pertahanan Singapura di era 90an.
Iklan
Aidil mungkin lebih cemerlang sebagai pemain, tetapi Aidil tampak lebih menyinar sebagai jurulatih apabila membawa Home United menjuarai Zon Asean Piala AFC musim lalu.
Ramai kenalan penulis yang merupakan wartawan bola sepak di Singapura meramalkan, Aidil untuk satu hari nanti mengendalikan skuad kebangsaan negara mereka.
Selepas empat aksi Liga Super, Kedah kini mendahului liga dengan 10 mata dan hanya perbezaan jaringan memisahkan mereka dengan Johor Darul Takzim (JDT) di tangga kedua.
Masih awal untuk mengatakan Kedah dibawah kendalian Aidil, mampu menjadi pencabar utama JDT musim ini.
Namun, jika dilihat corak permainan dan falsafah permainan menyerang Kedah kini, penulis percaya Lang Merah di landasan tepat.
Hadin pula adalah pemain yang menarik perhatian pemulis dalam empat aksi pertama selepas pemain Felda United itu berjaya meraih tiga gol.
Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu diberi kepercayaan oleh pengendali Felda, Nidzam Jamil untuk turut menggalas tugas kapten musim ini.
Beraksi di posisi sayap kanan atau kiri, Hadin tampak lebih matang musim ini dan penulis percaya, dia wajar mendapat kembali panggilan ke skuad kebangsaan musim ini.
Bukan mudah untuk Hadin muncul penjaring terbanyak tempatan kini, apatah lagi dengan penghijrahan ramai tonggak utama musim lalu.
Tetapi Hadin berjaya melakukannya dan penulis berharap, pemain ini terus menjelmakan aksi meyakinkan sehingga akhir musim ini bersama The Fighters.
Must-Watch Video