Skip to main content

Rencana

Aguero: City kata pergi, Barca kata mari

aguero-cover-photo.jpg
Habis madu, sepah dibuang -  begitulah pepatah yang paling tepat untuk menggambarkan keadaan penyerang Manchester City, Sergio Aguero, ketika ini.
 
Setelah hampir 10 tahun menaburkan bakti, termasuk jasanya menjaringkan gol kemenangan buat City untuk menobatkan kelab tersebut sebagai juara Liga Perdana Inggeris pada 2012, tempoh Aguero nampaknya bakal berakhir tidak lama lagi.
 
Musim ini jelas sekali merupakan yang terburuk buat Aguero, di mana dia hanya diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama dalam tujuh perlawanan sahaja setakat ini dan gagal menjaringkan walau satu gol pun.
 
Boleh dikatakan kemerosotan prestasi Aguero musim ini berpunca daripada pandemik COVID-19 yang mengganggu jadual liga serta pernah menjangkiti dirinya sendiri juga.




 
Namun, satu punca yang lebih penting adalah pengurus City, Pep Guardiola, nampaknya sudah hilang kepercayaan terhadap Aguero.
 
Menurut akhbar The Daily Mail, Guardiola dilaporkan berkata yang Aguero masih dibelenggu kecederaan dan tidak cukup cergas untuk bermain sepanjang 90 minit, disebabkan itulah dia jarang diberikan peluang musim ini.
 
Kenyataan itu disangkal Aguero yang mengatakan dia sudah pulih sepenuhnya dan tidak sabar untuk beraksi, namun peluang yang diberikan terhadapnya cukup sedikit dan terhad.
 
Umum mengetahui akan sifat Guardiola yang tidak menaruh belas kasihan terhadap sesiapapun, terutama jika pemain tersebut tidak disukainya.




 
Bayangkan sahaja, sewaktu Guardiola menyertai Barcelona sebagai ketua jurulatih pada 2008, dia menghadiri mesyuarat penting bersama pihak pengurusan kelab sewaktu hari pertama dia bertugas, lalu mengumumkan:

“Saya tidak suka dengan tiga pemain ini. Mereka harus dijual secepat mungkin.”
 
Tiga orang pemain yang dimaksudkan oleh Guardiola ketika itu adalah Ronaldinho, Samuel Eto’o dan Deco, pemain-pemain yang digolongkan sebagai teramat penting buat Barcelona.
 
Jika Guardiola sudah tidak suka, lebih baik pemain tersebut beredar sahaja, begitulah lumrahnya.
 
Barcelona sendiri dikatakan sudah pun membuat tawaran rasmi untuk mendapatkan khidmat Aguero yang tamat kontraknya Jun ini dan peluang untuk bersatu dengan rakan senegaranya, Lionel Messi, pastinya bakal menghembuskan nafas baru buat kerjaya masing-masing yang sudah di penghujung.
 
Jika begini penamatnya buat Aguero, ia pastinya menyedihkan, namun tiada seorang pemain pun dapat mengatasi batasan usia dan sememangnya prestasi Aguero tidak lagi setajam dahulu, mungkin itulah apa yang dipentingkan oleh Guardiola.
 
 

Advertisement

Must Watch Video