Skip to main content

Rencana

Ada Masa Lagi

221116puskas.jpg
Ketika menulis entri ini, berkumandangnya lagu “Time Is Running Out” dendangan kugiran Inggeris, Muse di sudut minda…

Apa signifikan nya lirik “our time is running out” itu? Jika diterjemahkan kepada Bahasa Melayu, maksudnya sekadar “kita semakin kesuntukan masa”.

Jadi berbalik kepada soalan tadi, apa maksud di sebalik ayat “kita semakin kesuntukan masa”? Jawapannya mudah sangat. 2 Disember semakin menghampiri kita, sama ada kita sedari atau tidak. Apa pula pentingnya tarikh 2 Disember ini?

Pada Jumaat, 2 Disember 2016, FIFA akan mengumumkan tiga orang pemain bolasepak yang mendapat undian paling banyak untuk semakin menghampiri Anugerah Puskas. Dan ya, masih ada kemungkinan lagi untuk orang kita sendiri memenangi anugerah itu.

Kita masih punya peluang untuk berbangga sebagai rakyat Malaysia tapi dengan syarat, rakyat Malaysia perlu terus membuat undian di laman web FIFA. Ketika ini, Faiz Subri bersaing dengan nama-nama terbesar dunia termasuklah ikon seperti Messi dan Neymar.

Mampu ataupun tidak anak jati Malaysia menyaingi bintang bolasepak lain di luar sana – jawapannya berada di tangan kita sendiri. “Kita” yang saya maksudkan adalah kita yang bergelar rakyat Malaysia, bukan sekadar “kita” yang meminati bolasepak tempatan.

Pada hari yang sama senarai calon Anugerah Puskas diumumkan, satu Malaysia menjadi kecoh dan hampir setiap orang mengingati satu sama lain untuk terus mengundi. Buka sahaja Twitter, nampak tweet “saya sudah mengundi”. Jalan cerita yang sama berlangsung di laman media sosial yang lain. 

Malah, saya ada menerima mesej di dalam group Whatsapp daripada seorang teman – gadis urban yang lebih gemarkan fesyen berbanding bolasepak – mengingati kami semua yang termasuk dalam group Whatsapp itu untuk mengundi Faiz Subri.

Begitu besar impak pencalonan ini! Semua terus mengundi, semua menumpang bangga.

Namun, semenjak kebelakangan ini, “kempen” Faiz Subri di kalangan rakyat Malaysia seolah semakin pudar dan semakin suram. Mungkin orang mengundi setiap hari tanpa banyak berkata – mungkin juga tidak.

Mungkin orang semakin lupa ada anak Malaysia yang tersenarai sebagai calon anugerah ini – mungkin juga tidak.

Apa yang nyata dan harus kita sedari, adalah masa kita semakin suntuk. Kita ada lagi peluang untuk melihat nama Malaysia dipandang tinggi dalam dunia bola sepak. 
Mungkin belum rezeki kita melihat pasukan kebangsaan yang menjayakan harapan ini, tapi seorang individu bernama Faiz Subri mungkin boleh memberikan sedikit sinar buat masa ini.

Dan dia tidak boleh melakukannya tanpa bantuan kita.
 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found