SEORANG guru tekun menulis di papan hitam, dengan kapur, sifir sembilan, bermula dengan 9 darab 1 bersamaan tujuh sehinggalah 9 darab 10 bersamaan 90.
Tentu sekali pelajarnya mentertawakan kesilapan guru itu sambil menunjuk kepada jawapan 7 kepada 9 darab 1.
Sebenarnya, kesilapan itu disengajakan.
“Yang sembilan lagi yang betul, tidak ada seorang pun daripada kamu yang mengucapkan tahniah kepada saya. Inilah pengajaran paling penting dalam hidup – dunia tidak akan menghargai kebaikan yang anda lakukan biarpun sejuta kali, tetapi mereka akan mengingati satu kesilapan anda. Cabarannya ialah bangkit daripada kecaman itu dan kekalkan kekentalan jiwa.” Mendalam pesanan guru itu.
Dari Rio de Janeiro, banyak pengajaran yang boleh kita ambil.
Sehebat manapun Azizulhasni Awang meraih pingat gangsa acara kegemarannya, keirin, di temasya Olimpik, ia disusuli satu kesilapan -- kenyataannya menyerang peribadi Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman.
Sambil memuji sembilan orang dalam catatan di akaun Facebooknya, Azizulhasni mengecam pula seorang ketua negeri.
Lama memendam perasaan agaknya. Sekali gus ia sedikit-sebanyak merencatkan perayaan gangsa yang dilakar selepas berkorban hampir dua dekad.
Rutin penerjun, Ahmad Amsyar Azman, berkesudahan dengan 'belly flop', atau pendaratan perut yang menjadi sumber lawak sedunia tetapi mengundang kontroversi di pentas domestik.
Netizen menyelar soalan wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, yang ditafsirkan sebagai terlalu keras dan mengaibkan Amsyar.
Ulasan selari pengulas Astro Arena, Zainal Abidin Rawop, yang tidak mahu menyebut mata yang dicatat Amsyar, turut dikritik.
Bagi Bazly yang memiliki pengalaman lebih sedekad dalam dunia kewartawanan, Rio adalah temasya keduanya selepas London 2012.
Serba boleh dalam membuat liputan olahraga, angkat berat, menembak, terjun, hoki dan banyak lagi sukan lain, Bazly bukan muka baharu.
Zainal Abidin juga pengulas veteran yang membuat liputan Olimpik di kaca televisyen sejak Seoul 1988.
Kedua-duanya mungkin sudah banyak meninggalkan jasa, memberi laporan yang positif, menyediakan ulasan yang merangsang semangat dan dihargai oleh atlet-atlet lain.
Benar, mereka mungkin ada melanggar etika atau tersilap fakta mahupun tersalah melontar soalan tetapi dalam zaman teknologi serba canggih, kesilapan anda diuar-uarkan sekelip mata yang boleh menghancurkan reputasi seseorang.
Tetapi, sebagaimana kata-kata guru itu, usahlah melatah. Ini cabaran zaman ini.
Atlet juga harus banyak belajar mengurus emosi dan berdepan soalan-soalan keras, sama ada berkaitan prestasi atau isu peribadi.
Oh lupa, tahniah kepada semua anggota kontinjen negara ke Rio de Janeiro 2016. Kenalah kenang sembilan jasa anda, tetapi yang lain teringat satu dosa anda! Juga terima kasih kepada semua peminat sukan yang menonton Astro Arena.