Skip to main content

Rencana

2019 tahun kebangkitan Sang Singa Utara?

perlis.jpg
Bila kali terakhir anda mendengar ngauman singa utara dalam kancah liga tempatan? Metafora yang merujuk kepada semangat penyokong negeri paling kecil di Malaysia, namun boleh dirasai di setiap pelosok negara, mengimbau kenangan zaman kegemilangan ketika Phillimon Chepita, Zachariah Simukonda, Adrien Jurad Chamrong, dan beberapa lagi nama yang meniti di bibir peminat bola sepak negara.

Sejak mereka mengalami masalah kewangan dan pengurusan, Perlis tidak berada dalam radar liga Malaysia, malahan hampir tenggelam, jika bukan kerana isu tunggakan, pasti nama mereka langsung tidak menghiasi dada berita tempatan.

Ironinya, Perlis yang kini berwajah baru, bakal memulakan kempen mereka dalam Liga FAM 2019 dengan barisan pemain bintang. Jurulatihnya, Manzoor Azwira yang dilantik untuk mengemudi pasukan musim depan juga terkejut apabila beberapa pemain yang pernah punya nama dan menyarung jersi kebangsaan sanggup datang hadiri sesi pemilihan, antaranya pemenang anugerah Puskas 2016, Faiz Subri, Amir Ridwan Taj, Khyrill Muhymeen, Fauzi Roslan, dan pembelian paling mengejutkan, Safee Sali juga turut disunting bersama pasukan itu.

Stadium Utama, Kangar yang sebelum ini sunyi sepi selama beberapa musim, kembali penuh pada perlawanan persahabatan pra musim yang diadakan pada Jumaat (21/12/2018). Perlis menang dengan keputusan 3-1 hasil jaringan Hafizi Amiruddin, Safee Sali dan Nazrin Syamsul Bahri. Dikhabarkan tiket yang berharga RM10.00 cukup laku dan peminat beratur panjang untuk mendapatkannya sejak petang Jumaat lagi.

Ia permulaan cukup positif, ditambah akaun media sosial pasukan ini juga rancak memuat naik maklumat dan jadual untuk pengetahuan peminat mengenai aktiviti semasa singa utara.

Cuma jangan pula baru separuh musim, wujud isu yang kurang enak, seperti masalah tunggakan gaji kembali berkumandang, kerana harus diingat, memancing pemain bintang bermakna gaji yang dibayar juga berkemungkinan mahal harganya, apatah lagi Perlis baru sahaja hendak kembali bangkit dari zaman gelap.

Bagaimanapun, diharap Perlis cekal untuk harungi musim 2019, dan siapa tahu boleh menang Piala FA dan menempah slot ke kejohanan AFC ! 

Kredit; Northern Lions Perlis Facebook

Advertisement

Must Watch Video