RENCANA
1MAS mati tiada idea
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) diberi pujian melambung selepas mengumumkan penubuhan Program 1MAS pada September 2010.
Berbekal dana kerajaan RM2 juta, sasaran utama 1MAS ialah menubuhkan skuad remaja handalan dunia pada 2017 (sebenarnya Piala Dunia Remaja 2016). Persoalannya, adakah sasaran itu tercapai?
Secara objektif, sasaran itu gagal kerana dua perkara.
Iklan
Pertama, Malaysia tidak layak secara merit ke Lucknow, India. Skuad kendalian Wallace Tan dapat tiket percuma selepas penyertaan Pakistan dibatalkan.
Kedua, Malaysia raih tangga ke-11. Adakah boleh dianggap pasukan handalan dunia?
Jelas bahawa perlaksanaan 1MAS tidak sehebat impian ketika idea penubuhannya. Jika kita lihat kepada asas program ini, Pengarah Pembangunan, Lim Chiow Chuan dan barisan jurulatihnya sudah menjejakkan kaki ke seluruh negara.
Mereka mendekati jurulatih peringkat sekolah, zon, daerah dan negeri.
Namun, hasilnya tidak begitu lumayan.
Saya lebih tertarik dengan pendekatan KHM-MSN menubuhkan Skuad Projek 2013. Tidak perlukan dana besar tetapi hasilnya menakjubkan.
Sekumpulan pemain dipilih menerusi Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (dulu Bandar Penawar), Universiti Kuala Lumpur Thunderbolt dan Sekolah Sukan Bukit Jalil selepas tamat Piala Dunia Remaja 2009.
Mereka diberi latihan asas yang cukup keras, datang ke stadium bersama, makan bersama dan tidur bersama.
Antara pemain terawal dalam skuad ini ialah penyerang, Faizal Saari, Mohd Syamim Yusuf dan pertahanan, Muhammad Noor Faeez Ibrahim.
Jurulatihnya, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.
Mereka berlatih seawal 6 pagi. Hebatnya hubungan pemain pasukan ini, seorang diusik semua berubah menjadi Hang Jebat.
2012, mereka muncul juara Piala Remaja Asia.
2013, tangga keempat Piala Dunia Remaja.
Kejayaan ini menyaksikan Skuad Projek 2013 dinobatkan Pasukan Terbaik Anugerah Sukan Negara 2014 sementara Dhaarma, Jurulatih Terbaik.
Apa yang saya ingin tekankan, dana yang banyak tidak menjamin kejayaan sesebuah program tetapi apa yang lebih penting ialah perlaksanaan idea.
1MAS akan menjadi kenangan.
Sebuah impian mewujudkan pasukan remaja handalan dunia tidak kesampaian.
Balik-balik pemain sama saja mewakili negara.
1MAS mati kerana tiada idea untuk memastikan dana kerajaan berterusan.
Must-Watch Video



