RENCANA
10 jurulatih 'ponteng' aksi Liga Super?
Biasanya kita dengar hanya pemain yang 'ponteng' latihan kerana mungkin tidak mendapat pelepasan atau komitmen peribadi tetapi kali ini membabitkan jurulatih.
Justeru, perlawanan Liga Super minggu ke-9 sememangnya menarik untuk disaksikan apabila 10 pasukan dijangka beraksi tanpa jurulatih masing-masing.
Kenapa? Persoalan itu pasti bermain dalam fikiran di kalangan peminat.
Iklan
Mereka bukan ponteng kerana cedera, masalah kesihatan atau urusan keluarga tetapi masing-masing terikat dengan komitmen kerja.
Dalam erti kata lain, 'ponteng' bersebab.
Mereka akan menjalani kursus kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 dengan modul pertama kursus ini berlangsung dari 7 hingga 17 April ini di Hotel Armada, Petaling Jaya.
Kursus itu akan dikendalikan oleh instruktor UEFA dari Denmark, Flemming Mark Serritslev, yang merupakan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Denmark, Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Denmark dan bekas Pengarah Teknikal untuk Liga Profesional Iran.
Jurulatih yang terlibat antaranya K. Devan (PJ City), Nidzam Jamil (Felda United), Irfan Bakti (Terengganu FC), Benjamin Mora (Johor Darul Takzim), Abu Bakar Fadzim (PKNP FC), Zainal Abidin Hassan (Melaka), Mehmet Durakovic (Perak), Aidil Sharin Sahak (Kedah), Chong Yee Fat (Kuala Lumpur) dan Dollah Salleh (Pahang).
Hampir semua jurulatih terbabit juga akan terlepas aksi pusingan ketiga Piala FA yang dijadual berlangsung pada 16 dan 17 April ini.
Apa pun, aksi Liga Super minggu ini akan menyaksikan beberapa pertembungan menarik antaranya, Selangor menentang Perak, Kedah bertemu Terengganu dan PJ City berdepan JDT.
Mampukah beberapa pasukan terbabit mencatat kemenangan tanpa jurulatih mereka? Sama-sama kita saksikan.
Must-Watch Video