Saingan hari kedua Selangor International Junior Golf Championship 2026 menyaksikan cabaran mendebarkan dan menguji ketahanan mental dan fizikal pemain.
Perkara itu susulan keadaan hujan lebat yang melanda Kelab Golf Seri Selangor sejak awal pagi selama dua jam, bukan hanya memaksa saingan ditunda daripada jadual asal, malah lebih sukar lagi apabila setiap peserta dituntut untuk beraksi sehingga jam 10 malam.
Advertisement
Namun, disebalik cuaca tidak menentu, ada bakat yang menyinar di lapangan.
Pada ketika rakan sebaya berada di sekolah, lain pula yang dilalui Park Hyorin dari Korea Selatan yang mencuri tumpuan menerusi permainan terpuji.
Meskipun baru berusia 15 tahun, Hyorin mempersembahkan permainan yang tenang dan matang apabila merekodkan 71 pukulan, 1 dibawah par.
Secara keseluruhan, Hyorin mengumpul 142 pukulan, 2 dibawah par sekali gus muncul pendahulu baru kategori wanita menuju hari terakhir saingan pada sabtu.
"Kawan-kawan saya banyak memberikan sokongan daripada aspek mentaliti, saya cuba membiasakan diri dan berikan aksi terbaik," katanya.
Dalam pada itu, persaingan sengit pula melibatkan tiga pemain dari tuga negara berbeza menghangatkan saingan kateogri lelaki.
Peserta dari Jepun, Koshin Nagasaki, menerima tentangan sengit daripada wakil China, Shijun Jing, dan wakil jemputan dari Sekolah Antarabangsa UUM Melaka (UUMISM), Kang Geon.
Kedudukan tiga pemain terbaik ini silih berganti serta menjadikan perebutan status pendahulu semakin menarik untuk dikongsikan.
Namun, kualiti dan kesempurnaan jadi milik Nagasaki yang cemerlang dan berada di kelas tersendiri.
Selain berjaya melakukan eagle dan birdie pada hujung saingan, Nagasaki mencuri tumpuan ramai apabila menamatkan saingan hari kedua dengan rekod menakjubkan iaitu 66 pukulan, 6 dibawah par.
Secara keseluruhan selepas mengharungi 36 lubang — nagasaki mencatat 136 pukulan, 8 dibawah par.
"Ia keadaan yang sukar, tetapi saya berusaha beri aksi terbaik. Saya lebih yakin dan berharap dapat menjuarai kali ini.
"Keadaan green sangat berbeza selain keadaan rumput berbanding di Jepun, jadi saya banyak berlatih." tambahnya.