Skip to main content

Bola Sepak

Ziyech sambung kontrak Ajax di sebalik minat Bayern

ziyech.jpg
Hakim Ziyech memutuskan untuk kekal di Ajax kerana percaya keputusan itu lebih jelas di celah-celah masa depannya yang tidak menentu selepas dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern Munich.

Ziyech memainkan peranan utama ketika membintangi Ajax ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu.

Bagaimanapun, tatkala Frenkie de Jong beralih angin ke Barcelona sementara Matthijs de Ligt menandatangani kontrak dengan Juventus dalam jendela perpindahan musim panas lalu, Ziyech kekal dengan juara Eredivisie berkenaan.

Di sebalik Bayern dikaitkan dengan pemain berusia 26 tahun itu, dia bertekad menandatangani kontrak baru selama tiga tahun.

Walaupun dia mengakui perpindahan ke Jerman masih lagi merupakan satu kemungkinan, dia enggan berpeluk tubuh sambil menantikan tawaran itu menjadi realiti. 

"Ya, saya boleh sahaja (menunggu lamaran Bayern)," katanya kepada Algemeen Dagblad. "Tetapi bagi saya dan Ajax, ini adalah masa yang baik untuk satu kepastian."

Tambah tonggak di bahagian serangan itu, tiada keperluan untuk melancarkan desakan untuk angkat kaki memandangkan dia sedang menikmati prestasinya.

"Saya mempunyai tempoh yang hebat di sini," katanya. "Kami mempunyai sebuah pasukan bagus, suasana dalam pasukan ini begitu hebat. 

"Saya mahu memastikan musim yang berjaya sambil membuktikan bahawa musim lalu bukanlah satu kebetulan -- ini termasuklah kepada diri sendiri dan semua orang di sekeliling saya.

"Perasaan itu merupakan perkara yang paling mustahak bagi saya, saya gembira di sini.

"(Wang) tidak memainkan peranan dan tidak pernah menjadi faktor utama. Saya menggemari bola sepak dan di Ajax, saya menempuhinya dengan cara yang saya suka."










 

Advertisement

Must Watch Video