Skip to main content

Bola Sepak

Zidane tidak ragu kemampuan Barcelona selepas kenyataan Messi

zinedinezidanecropped_1cnehu5t2qt9t190md6mqbzztg.jpg
Zinedine Zidane menjangkakan Barcelona tidak akan menjadi lemah walaupun seterus pencabar LaLiga itu dipalit isu di luar padang, minggu ini.

Hubungan retak dilihat berlaku dalam kem Barca selepas bintang utama, Lionel Messi, mengecam Eric Abidal susulan kenyataan pengarah bola sepak Barcelona itu mendedahkan sesetengah pemain tidak berusaha keras sehingga membawa kepada pemecatan Ernesto Valverde.

Messi mengeluarkan kenyataan itu menerusi laman Instagram peribadinya apabila menulis: "Apabila bercakap mengenai pemain, kami perlu sebutkan nama kerana jika tidak, semua akan menerima kesannya dan apa yang diperkatakan itu tidak benar".

Situasi menjadi lebih tegang apabila bekas pemain sayap Barca, Francisco Jose 'Lobo' Carrasco, mendakwa Messi kini semakin hampir untuk meninggalkan kelab itu.

Namun, pengurus Real Madrid, Zidane, tidak mahu memikirkan isu tersebut tatkala dia tidak percaya ia bakal memberi kesan kepada cabaran Barcelona.

"Ia bukan begitu, tidak pernah," katanya.

"Mereka tidak akan menjadi lemah kerana Barca adalah pasukan yang kompetitif. Kami tidak fikirkannya walaupun seminit.

"Mereka akan bersaing dengan kami sehingga akhir musim. Pemain hebat sentiasa menjadi bagus."

Bercakap mengenai pasukan bimbingannya, Real, yang memenangi pertemuan setempat Madrid sebelum ini dan bakal berdepan Real Sociedad dalam aksi suku akhir Piala Raja Sepanyol, awal pagi esok, Zidane turut menolak untuk memberi kenyataan mengenai situasi melibatkan Kylian Mbappe dan Paris Saint-Germain (PSG).

"Kami meraih momentum yang baik dan perlu kekalkannya.

"Perjalanan masih jauh, kami masih belum memenangi sebarang kejuaraan. Anda boleh bergembira apabila memenangi sesuatu tetapi kami masih belum meraih sebarang kejuaraan."


Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found