Skip to main content

Bola Sepak

Zidane tempelak dakwaan tidak hormati Bale

zidane.jpg
Zinedine Zidane menegaskan bahawa beliau bukannya tidak menghormati Gareth Bale apabila mengatakan adalah lebih baik sekiranya pemain itu meninggalkan Real Madrid dengan kadar segera.

Hujung minggu lalu, Zidane mencetuskan ketegangan di antara kedua-dua pihak apabila mendedahkan bahawa beliau berharap bintang Wales itu akan meninggalkan kelab LaLiga berkenaan dengan segera, sambil menambah: "Ia akan menjadi langkah terbaik buat semua orang."

Ejen Bale, Jonathan Barnett, melabel pengurus Madrid itu sebagai "memalukan" manakala khabar angin Bale ke Liga Super China semakin meningkat. 

Pengurus dari Perancis itu menempelak tanggapan itu selain mendakwa bahawa Bale sendiri yang enggan beraksi dalam kekalahan 1-3 kepada Bayern Munich dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC), kelmarin, berikutan kelab itu sedang mengatur proses perpindahannya. 

"Saya akan cuba jelaskan perkara ini dengan Gareth," katanya dalam sidang akhbar semalam. 

"Yang pertama, saya bukannya tidak menghormati sesiapa jua, apatah lagi kepada pemain kerana saya sering mengatakan perkara yang sama. Pemain adalah elemen paling penting dan saya selalu mempertahankan mereka. 

"Yang keduanya, saya ada mengatakan kelab ini cuba menjualnya. Itu sahaja.

"Yang ketiga, saya fikir ini penting juga . Pada hari berkenaan, Gareth enggan menukar pakaian (untuk dimasukkan) kerana itulah hasratnya, itu sahaja. 

"Dia mengatakan Real Madrid cuba untuk menyisihkannya, jadi sebab itulah dia enggan menyalin pakaian.

"Sekarang, kita berbalik kepada hal yang sama. Bale adalah pemain Madrid, dia akan turun berlatih hari ini dan kita akan lihat apa yang berlaku esok (menentang Arsenal)."

Apabila subjek Bale dibangkitkan semula, Zidane berkata: "Anda terus bertanyakan tentang situasi ini dan ia tidak akan berubah hari ini -- dia akan mengikuti latihan kami, kelab sedang melakukan apa yang perlu dilakukan.

"Dia akan berlatih secara normal dan kita akan lihat apa yang berlaku esok."

Bale telah dikaitkan dengan kelab Liga Super China, Jiangsu Suning dan Beijing Guoan, yang dilaporkan mempertimbangkan tawaran gaji bernilai £1 juta (RM5.1j) seminggu buat pemain itu.

Madrid akan berdepan Arsenal di Maryland, Amerika Syarikat, 7 pagi esok waktu Malaysia.

 

Advertisement

Must Watch Video