BOLA SEPAK
Zidane sanggah teori konspirasi kaitkan pengadil menjelang El Clasico
Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, menafikan dakwaan pengadil bagi pertemuan 'El Clasico', Carlos Clos Gomez, bertindak berat sebelah terhadap Barcelona.
Media Sepanyol mendakwa Clos Gomez lebih memihak kepada Barca, dengan menekankan bahawa skuad Catalan itu tidak pernah kalah ketika pengadil berusia 44 tahun itu ditugaskan untuk perlawanan melibatkan pasukan itu.
Beliau juga pernah dituduh sebagai anti-Madrid di atas tindakannya lebih daripada sekali dan kelibatnya yang paling diingati adalah ketika kemenangan ke atas Sevilla pada 2010-2011 sehingga menimbulkan kemarahan Jose Mourinho.
Iklan
Bagaimanapun, Zidane tidak percaya dengan teori konspirasi itu dan yakin Clos Gomez akan mempersembahkan aksi terbaik untuk memastikan perlawanan berjalan baik dan adil.
"Saya tidak percaya dengan dakwaan bahawa pengadil adalah berat sebelah," kata Zidane dalam sidang media.
"Saya hanya memikirkan ia perlawanan yang hebat dengan pengadil mahu melakukan yang terbaik.
"Saya tidak berminat dengan teori konspirasi seumpama itu. Saya tidak bimbang, saya hanya mahu memikirkan perlawanan itu sahaja.
"Orang hanya mahu menonton persembahan menarik pada Sabtu ini di samping pengadil yang mahu memastikan perlawanan berjalan lancar."
Madrid kini mendahului LaLiga dengan kelebihan enam mata menjelang aksi di Camp Nou, minggu ini.
Must-Watch Video